PETALING JAYA: Jemaah Menteri, Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bersetuju projek kapal tempur pesisir (LCS) diteruskan bagi memenuhi keperluan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan melibatkan ketiga-tiga pihak yang diadakan beberapa kali.
Selain itu katanya, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan melibatkan sebuah jawatan kuasa khas yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed sebanyak dua kali.
“Apa yang penting bagi kita kapal-kapal ini dapat memenuhi keperluan dan diserahkan kepada TLDM.
“Selain itu, kita mahu memastikan syarikat yang terlibat dengan pihak berkepentingan dapat pembelaan lebih- lebih lagi mereka yang bekerja sebagai vendor terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Malah jika ia tidak diselesaikan, mungkin menjejaskan kedudukan kewangan kita sendiri dan membawa kesan kepada pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya dalam sidang akhbar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 dekat sini, hari ini.
Kapal LCS sebelum ini berdepan kelewatan yang berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.
Proses perolehan itu mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan, menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut jadual ditetapkan
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, perbincangan antara beliau dan rakan sejawat dari Perancis Florence Parly diteruskan pada masa akan datang bagi mendapatkan pandangan dari negara berkenaan.
“Tetapi yang lebih penting adalah untuk kita di Malaysia memutuskan hala tuju penyelesaian LCS,” katanya. – UTUSAN