Buat salah sikit nusyuz. Tidak mengikut arahan juga dikatanya nusyuz. Jangan tidak tahu, ramai sahaja suami sebegini yang ringan mulut untuk berkata isteri nusyuz jika ada yang tidak kena pada matanya.
Perkataan itu bagaikan sudah menjadi zikir untuk menakut-nakutkan isteri dan menunjukkan kuasa veto sebagai suami.
Peguam Syarie, Amirul Akmal Ismail berkata, definisi nusyuz itu sendiri penting untuk difahami oleh suami dan isteri supaya ia tidak digunakan sewenang-wenangnya tanpa ilmu pengetahuan.
Dari segi istilah syarak nusyuz merujuk kepada isteri yang bersifat meninggi diri atau ego dengan mengingkari ketaatan kepada suami yang diwajibkan Allah S.W.T.
“Maksudnya situasi membolehkan isteri dikatakan nusyuz adalah apabila isteri merasa lebih hebat daripada suami sehingga menidakkan ketaatan kepada suami seperti yang disuruh dalam agama,” katanya kepada Seri.
Justeru, layakkah suami melabelkan isteri sebagai nusyuz? Apakah suami faham erti nusyuz?
Amirul berkata, tidak ada seorang pun suami yang berhak untuk menjatuhkan hukum nusyuz kepada isteri melainkan hanya mahkamah yang berkuasa membuat keputusan.
Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor menyatakan bahawa sabitan nusyuz tertakluk kepada hukum syarak dan pengesahan mahkamah.
“Sabitan nusyuz tertakluk kepada dua perkara itu. Hukum nusyuz hanya disabitkan ke atas isteri apabila perintah dikeluarkan mahkamah syariah menyatakan isteri berlaku nusyuz setelah melalui perbicaraan yang sewajarnya.
“Jadi, kalau setakat suami lafaz di rumah sahaja tidak memberikan sebarang kesan pun kepada isteri. Ia tidak terpakai dan tidak jatuh pun hukum nusyuz itu terhadap isteri,” ujarnya lagi.
Oleh itu katanya, suami tetap harus menjalankan tanggungjawab menyediakan nafkah zahir dan batin dengan sempurna.
Hal ini kerana isteri yang disabitkan nusyuz oleh mahkamah sahaja yang tidak layak mendapat nafkah daripada suami.
3 SITUASI NUSYUZ
Mengenai situasi isteri boleh dikatakan nusyuz, Amirul memberikan tiga situasi boleh mengundang kepada nusyuz seorang isteri.
Pertama, apabila isteri menjauhkan diri daripada suami, meninggalkan rumah suami bertentangan dengan kemahuan suami atau apabila enggan berpindah bersama suami dari satu tempat ke tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
“Namun sekiranya berlaku situasi seperti itu pun suami tetap tidak boleh menjatuhkan hukum sendiri. Harus rujuk kepada mahkamah.
“Ada kes suami mengemukakan tuntutan nusyuz kerana isteri enggan mengikutnya berpindah ke rumah baharu disebabkan rumah yang dibeli kurang selesa dan tidak menepati kehendak isteri.
“Kerana si isteri sudah terbiasa hidup senang dan suami pula sediakan rumah yang sangat jauh berbeza daripada kebiasaan isteri. Mahkamah menolak tuntutan suami kerana menurut mahkamah suami tidak menyediakan tempat tinggal yang dituntut syarak.
“Sepatutnya suami harus sediakan kediaman selesa yang sudah menjadi kebiasaan si isteri. Jadi, daripada situ kita dapat lihat bukanlah mudah hendak sabitkan isteri itu nusyuz atau tidak sebenarnya,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, banyaknya berlaku kes sedemikian kerana sikap suami yang gemar mengugut untuk menakutkan isteri serta salah faham akan konsep nusyuz.
“Perkataan nusyuz sepatutnya digunakan untuk mendidik isteri supaya taat dan bukan untuk mengugut isteri setiap masa sekiranya isteri melakukan perkara yang suami tidak suka.
“Namun lelaki kebanyakan memang begitu, gemar guna perkataan itu sebagai perisai dan menakutkan isteri supaya isteri tidak berani buat permohonan cerai atau fasakh,” ujarnya lagi.
Amirul yang juga Pengurus Amirul Akmal & Associates berkata, ada beberapa tindakan boleh isteri lakukan untuk keluar daripada kemelut berkenaan.
“Pertama, tidak gentar kalau suami sering mengugut isteri nusyuz kerana ia tidak membawa makna apa-apa. Jika masih sayang dengan perhubungan, bawa suami ke pejabat agama terdekat dan dapatkan nasihat.
“Namun, jika sudah tidak tahan dengan sikap suami sehingga mengganggu kesihatan mental, buat permohonan cerai di bawah sebab Shiqaq iaitu pergaduhan berpanjangan yang tidak dapat dihentikan lagi. Atau boleh juga nyatakan sebab tiada persefahaman. Permohonan penceraian selalunya tidak memerlukan pembuktian yang kukuh,” ulasnya.
Silap isteri, silap suami
‘Ya, banyak kes’. Itu jawapan Kaunselor Keluarga, Zumasni Rajikin apabila ditanya mengenai isu berkenaan suami yang sering mengugut isteri menggunakan perkataan nusyuz.
Katanya, pengalamannya mengendali kes berkaitan isu ini mendapati isteri dan anak-anak mengalami tekanan yang hebat daripada sikap si bapa yang terlalu bersikap veto dan suka mengongkong pasangan.
“Ada satu kes seorang suami yang mengunci isteri an anak-anak di rumah ketika dia keluar bekerja. Isteri tak boleh keluar rumah, jika keluar rumah suami akan mengatakan padanya sebagai isteri yang nusyuz.
“Tidak boleh melawan dan suka mengongkong isteri. Sama juga bila suami ada di rumah. Ini membuatkan isteri dan anak anak tertekan sebab isteri tidak mahu dilabel nusyuz.
“Tingkahlaku suami membuatkan isteri ingin melarikan diri dari rumah tersebut sebab tidak tahan,” kongsinya.
Tambah Zumasni, dalam rumah tangga sudah tentu tidak dapat lari daripada berlakunya konflik dan kadangkala mungkin terjadi nusyuz terhadap pasangan.
Bagaimanapun, suami dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum nusyuz tanpa sebab yang kukuh.
“Suka saya tekankan di sini, dalam kesilapan seorang isteri terselit kesilapan suami.
“Jika suami terlalu menggunakan istilah nusyuz ia boleh menyebabkan tekanan kepada isteri yang menyebabkan hilang kepercayaan. Bermula dari situ akan hilangnya kasih sayang,” tegasnya.
Lebih parah permasalahan ini boleh mengundang gangguan emosi kepada isteri sekali gus memberi kesan negatif kepada anak-anak yang semakin membesar.
ISTERI JADI TAKUT
Isteri juga akan merasa takut yang berlebihan untuk berbuat sesuatu pada masa akan datang kerana bimbang akan dilabel sebagai derhaka oleh suami.
“Isteri memendam rasa, sebulan, setahun dan bertahun tahun. Kemuncaknya jika masalah tersebut tidak dikongsi, akan menyebabkan masalah kesihatan mental.
“Malangnya ia turut mendatangkan kesan kepada emosi anak-anak. Suami yang tidak menjadi pendengar yang baik kepada isteri menjadi faktor isteri akan melepaskan emosinya kepada anak anak.
“Boleh juga terjadi kemurungan, kerisauan yang melampau dan penyakit kecelaruan yang lain. Ada juga kes yang kronik akhirnya terpaksa dirujuk kepada pakar psikitrik.
“Lelaki dinasihatkan sabar dan bijak menangani situasi berlaku dalam perhubungan.
“Ambillah pendekatan menasihati dengan cara berhemah dan lemah lembut kerana fitrah seorang wanita yang sukakan kelembutan.
“Jika masih lagi berlaku suami dibenarkan memukul isteri dengan pukulan yang tidak mencederakan.
“Akhir sekali jika masih tidak selesai boleh dirujuk kepada pihak mahkamah Syariah terdekat untuk memohon jalan penyelesaian terbaik,” akhirinya.
‘Bila marah semua nusyuz’
PERKAHWINAN yang wangi adalah yang baru masuk ke gerbang itu. Masa itu, suami isteri boleh lebih kurang. Tidak kisah pun dengkuran kuat pasangan. Bagai nak runtuh gegendang telinga pun, dengkuran itu ibarat irama yang menyejukkan.
Soal belanja rumah pun begitu. Isteri tidak berkira manakala suami pun bagai terbuai dengan kemurahan hati isteri yang asyik membantu, maka dia pun lama kelamaan menyerahkan bulat-bulat hal sara keluarga pada isteri.
Sudah masuk tahun ketiga dan ke atas, isteri sudah letih. Mengabaikan tanggungjawab dan dapat pula suami yang nak jadi imam pun susah, ini semua boleh mengikis rasa hormat pada suami. Suami pula tetap dengan ego seorang lelaki. Mahu dihormati sebagai ketua keluarga tanpa mahu muhasabah diri.
Maka tercetuslah pergaduhan demi pergaduhan. Isu tidak melayan suami dengan baik pun timbul. Suami pula dengan mudah jatuh hukum sendiri mengatakan isteri nusyuz.
Cerita sebegini memang banyak dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi dalam zaman ini. Zaman mulut lebih laju daripada otak yang berfikir.
Baru-baru ini saya berbual dengan seorang peguam syarie, katanya, pasal nusyuz ini memang sudah jadi mainan mulut lelaki.
“Tak masak nasi dikata nusyuz. Lambat bersiap untuk keluar dikata nusyuz. Balik rumah keluarga pun nusyuz. Tak layan suami sebab kepenatan nusyuz, asalkan marah semuanya jadi nusyuz,” katanya.
Jelasnya, nusyuz hanya boleh disahkan oleh mahkamah syariah setelah melalui perbicaraan yang sewajarnya untuk mengumpul bukti-bukti dan maklumat. Bukan suami boleh terus mengatakan isterinya telah nusyuz.
Nusyuz ini berat tuduhannya. Dan kenapa isteri itu boleh nusyuz sepatutnya juga ia diteliti oleh suami, bukan terus melabel isteri sebagai nusyuz.
Yelah, kalaulah setiap pasangan boleh dan berusaha mengekalkan ‘kewangian’ bercinta sampai ke alam perkahwinan, tentulah mereka tidak mudah dijentik kemarahan walaupun dengan hal-hal yang remeh.
Dan betul, kata peguam itu, kebanyakan isteri yang dikata nusyuz, tidak mahu melayan kehendak suami kerana isteri sudah hilang rasa hormat dengan suami yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai suami dan hak-hak sebagai seorang isteri tidak dipenuhi.
Suami pula rasa tercabar dengan tindakan isteri yang tidak mengikut kata dan menyifatkan isteri derhaka dan begitulah pusing-pusing di situ juga dan jalan selesainya ke mahkamah syariah.
Ceritanya di sini, kalau masing-masing faham dengan tanggungjawab, perkataan nusyuz, dayus atau ceraikan aku, tidak akan timbul dalam perkahwinan. Tapi itulah. Kalaulah ada rasa sabar dan semudah itu.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.
REAKSI
“Suami jenis ini sememangnya tidak boleh dibawa berbincang dalam keadaan apa jua. Mereka akan sentiasa berfikiran cara mengendalikan setiap urusan adalah betul dan tepat. Sebenarnya mereka bukannya kurang pandai mengaji al-Quran, agama atau solat, tetapi mereka kurang didikan asas hormat menghormati, sayang-menyayangi dan menjaga kebersihan jasmani dan rohani semasa kecil.”
Rosita Jaafar
Pengasas Royalpremiumhq
“Tidak seharusnya suami gunakan perkataan nusyuz untuk menakut-nakutkan isteri. Sepatutnya setiap pasangan ada tolak ansur supaya tidak berlaku perkara tidak diingini.”
Shiella Tukimin
Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Iman Kuala Lumpur (WITUS)










