KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam dimaklumkan bahawa laporan asal audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diarahkan untuk dihapuskan telah disorokkan di bawah kerusi oleh Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad.
“Salwani beritahu dia simpan laporan tersebut di bawah kerusinya. Selepas itu saya mengambil laporan asal dan laporan yang telah dipinda dan menyimpannya dengan selamat dan dalam keadaan berkunci di dalam bilik saya,” ujar saksi pendakwaan ke-12, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.
Saksi itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Terdahulu, Madinah memberitahu beliau berasa terkejut apabila dimaklumkan oleh Nor Salwani bahawa terdapat dua laporan audit mengenai 1MDB.
“Saya juga terkejut apabila Salwani memberitahu saya bahawa Tan Sri Ambrin Buang (Ketua Audit Negara sebelum Madinah memegang jawatan itu) turut menerima arahan untuk meminda laporan asal manakala Salwani diarahkan untuk menghapuskan semua dokumen termasuk laporan asal yang sepatutnya dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” kata Madinah.

Beliau bagaimanapun tidak dapat bertanya lebih lanjut mengenai perkara tersebut kepada Nor Salwani kerana terpaksa menghadiri mesyuarat bersama pasukan audit 1MDB jabatan tersebut.
Madinah turut menyatakan bahawa beliau percaya pasukan audit itu juga tidak mengetahui mengenai kewujudan laporan asal tersebut.
Pada pemeriksaan utama sebelum ini, Madinah memberitahu beliau tidak memusnahkan laporan asal 1MDB kerana ia mengandungi maklumat dan bukti yang material mengenai syarikat pelaburan strategik itu namun tidak dapat mendedahkan mengenai perkara tersebut kerana Laporan Pengauditan 1MDB telah diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Hanya selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan agar laporan tersebut diklasifikasikan semula sebagai dokumen terbuka, Madinah mengarahkan agar laporan asal itu diserahkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2018.
Bagaimanapun, isi kandungan laporan ini diubah dengan menggugurkan beberapa perenggan di dalamnya melalui mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Dr. Ali Hamsa pada 24 Februari 2016.
Madinah dalam keterangannya sebelum ini turut menyatakan dua perenggan yang digugurkan daripada salinan asal laporan pengauditan itu adalah perbezaan maklumat dalam penyata kewangan 1MDB dan minit mesyuarat mengenai kehadiran ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) pada Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 September 2009.
Sementara itu, saksi tersebut menyatakan adalah tidak salah Najib sebagai Menteri Kewangan ketika itu meminta Jabatan Audit Negara untuk menilai semula laporan tersebut.
Bagaimanapun, pada sesi yang dijalankan pada sebelah pagi, Madinah memberitahu mahkamah bahawa pindaan terhadap laporan akhir 1MDB tidak sepatutnya berlaku dan merasakan ia adalah sesuatu yang salah untuk berbuat demikian.
“Saya cuma tahu ia (pindaan) adalah salah untuk Ketua Audit (Ambrin) meminda laporan akhir dan mengarahkan Salwani untuk menghapuskan laporan asal,”katanya.
Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – UTUSAN