Kripto pilihan penjenayah - Utusan Malaysia

Kripto pilihan penjenayah

PENGHASILAN mata wang kripto atau mata wang digital kini jadi pilihan penjenayah melakukan aktiviti mereka lebih selemat. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Urus niaga menerusi mata wang kripto atau digital menjadi modus ope­randi pilihan terbaru penjenayah untuk menyembunyikan jejak tran­saksi aktiviti tidak sah termasuk dalam urusan memberi rasuah.

Sejak sedekad lalu mata wang dicipta pakar komputer tersebut semakin berkembang selain turut ‘membuka peluang’ kepada penjenayah melicinkan aktiviti salah mereka.

Senario lebih membimbangkan apabila transaksi mata wang digital berkenaan turut diguna pakai oleh rangkaian sindiket rentas negara seperti jual beli dadah dan senjata api.

Perkara tersebut membimbangkan dan jika transaksi mata wang kripto terus tidak dikawal akan semakin banyak aktiviti jenayah sukar dibongkarkan.

Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia sumber berkata, jenayah melibatkan mata wang digital tersebut bermula apabila transaksi kaedah baharu itu tidak dikawal mana-mana pihak berkuasa atau ia mempunyai badan penyelia.

Malah, menurut sumber pengguna A boleh melakukan transaksi kepada pengguna B tanpa menggunakan khidmat institusi kewangan.

Pilihan

Susulan itu, dedah sumber, mata wang kripto kini menjadi pilihan bagi kumpulan penjenayah termasuk sindiket Macau Scam, perjudian, dadah dan pengubahan wang haram hasil kegiatan jenayah.

“Menerusi medium sama, tidak mustahil turut boleh digunakan golongan tertentu me­nyalurkan atau melakukan pemindahan dana kepada organisasi pengganas kerana mata wang kripto tidak meninggalkan jejak forensik.

“Ini kerana, pengaliran wang berkenaan dikawal mesin kriptografi sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk menjejak transaksi dilakukan,” kata sumber baru-baru ini.

Mengulas lanjut, dedah sumber itu, sindiket jenayah juga dipercayai bersekongkol dengan syarikat pengurup wang tertentu untuk melakukan pertukaran mata wang kripto kepada mata wang semasa.

Kata sumber itu, wang hasil daripada jenayah yang dilakukan akan dilaburkan dalam pembelian mata wang kripto sebelum keuntungan yang diperoleh akan dikeluarkan dalam bentuk tunai.

“Syarikat pengurup wang berkenaan dipercayai akan menjadi ‘orang tengah’ untuk menukar mata wang digital berkenaan kepada tunai dengan menerima bayaran tertentu,” jelasnya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Power dua minggu lalu mengesan sindiket melombong bitcoin yang menawarkan suapan antara RM3,000 hingga RM300,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tindakan penguatkuasaan tidak diambil terhadap mereka.

Pengusaha bitcoin akan berunding dengan pegawai TNB semasa operasi dijalankan dan pembayaran rasuah itu dilakukan menerusi bayaran secara tunai atau menggunakan ‘crypto currency’ secara bulanan.

Selain itu, pada 30 Mac 2020, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kumpulan Geng Nicky yang didalangi Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee Operasi Pelican 3.0 kerana disyaki terlibat dalam penipuan dan perjudian dalam talian serta ah long.

Modus operandi Geng Nicky ini ialah dengan melakukan pembelian hartanah, produk kesihatan, pelaburan Forex dan Kripto yang dinamakan Wincoin dan Winbitex bagi mengaburi pihak berkuasa.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×