PENDANG: Kos baharu pengambilan pekerja asing Indonesia akan diumumkan selepas memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan negara jiran itu dimuktamadkan April ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kos pengambilan pekerja domestik Indonesia ditetapkan pada RM7,800 berdasarkan MoU sebelum ini.
Beliau berkata, sebanyak RM6,000 kos pengambilan pekerja di pihak Malaysia dan RM1,800 lagi adalah kos di pihak Indonesia berdasarkan Kumpulan Kerja Bersama Ke-9 pada September 2013 dalam MoU yang telah tamat pada 2016.
“Sehubungan itu, memorandum perkhidmatan domestik Indonesia yang baharu dijadualkan untuk ditandatangani oleh kedua-dua negara di Jakarta pada awal April 2022.
“Struktur kos pengambilan domestik Indonesia akan diumumkan selepas MoU tersebut dimuktamadkan kelak,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tapak di Hospital Pendang, di sini hari ini.
Ketika diminta mengulas sama ada berlaku kenaikan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan kos baharu itu berikutan beberapa faktor.
Bagaimanapun, beliau belum dapat menjangkakan sejauh mana peratusan kenaikan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia berbanding beberapa tahun lepas.
“Tidak semestinya naik dan tidak semestinya turun.Kita akan semak semula dari semasa ke semasa. Bagaimanapun,libat urus akan sentiasa berjalan,” katanya.
Awang menambah, harga kos pengambilan pekerja domestik Indonesia akan ditentukan dalam persefahaman yang ditandatangani bersama negara sumber.
Selain itu, Awang memberitahu, Hospital Pendang yang dalam pembinaaan di Kampung Banggol Pauh, di sini yang kini telah siap kira-kira 95 peratus.
Awang memberitahu, Hospital Pendang yang mula dilaksanakan pada 2018 dijangka siap tidak lama lagi dan memberi manfaat kepada penduduk setempat. – UTUSAN










