PETALING JAYA: Majikan-majikan pembantu rumah di negara ini meminta supaya memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia dapat menetapkan kos pengambilan yang berpatutan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein mengakui, kebanyakan negara lain di rantau Asia menetapkan kos pengambilan melebihi RM10,000.
Namun, menurut beliau, kos itu perlu ditetapkan mengikut kualiti kemahiran dan kerja yang sewajarnya.
“Kos pengambilan amah dari Filipina pun lebih RM10,000, sama juga negara lain. Jadi sudah tentu Indonesia akan naikkan harganya. Itu belum kira kos pengendalian agensi dari Malaysia.
“Namun, kos ini mestilah berpatutan, sesuai dengan kualiti. Ini kalau kerja pun tak buat, apa gunanya kos sedemikian,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) yang memberitahu, agensi-agensi pekerjaan swasta di Indonesia menetapkan kos pengambilan pembantu rumah dari negara itu tidak boleh kurang daripada RM10,000.
Ini selepas agensi-agensi dari Indonesia itu mendakwa harga yang rendah tidak masuk akal kerana tidak selari dengan pasaran tenaga kerja masa kini.
Katanya, jika kos yang dituntut tidak dipersetujui, besar kemungkinan usaha menandatangani MoU kemasukan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia yang dijadualkan pada 1 April ini akan gagal.
Ini tidak termasuk keperluan-keperluan tambahan yang perlu disediakan bagi memenuhi tuntutan prosedur operasi standard (SOP) pengambilan pekerja asing.
Bagaimanapun, Engku Ahmad Fauzi enggan membandingkan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dengan negara-negara lain, sebaliknya berharap kerajaan dapat mencapai persefahaman bersama Indonesia mengenai kos tersebut.
“Kerajaan perlu putuskan kos yang terbaik kerana ini melibatkan hak majikan amah, soal kos ini perlu ada justifikasi.
“Tetapi janganlah mahal sangat, kalau mahal sangat, majikan mungkin terpaksa ambil pekerja dari tepi jalan, pekerja haram kerana mereka jauh lebih murah,” katanya.- UTUSAN











