Konvoi Lamborghini: Polis rakam percakapan pemandu kereta mewah - Utusan Malaysia

Konvoi Lamborghini: Polis rakam percakapan pemandu kereta mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Polis merakam percakapan 10 individu yang terlibat dalam konvoi kereta mewah yang menghalang laluan di Kilometer 34, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kesemua individu berkenaan hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bermula pukul 4 petang semalam.

“Kita sudah selesai mengambil keterangan kesemua individu berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Mereka kemudian diberi jaminan polis sejurus selesai memberi keterangan kepada pegawai penyiasat. Kes masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis akan memanggil 10 individu yang terlibat dalam konvoi kenderaan mewah termasuk Lamborghini yang menghalang laluan di lebuh raya berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan wanita yang memandu trak pikap jenis Ford Ranger dipercayai panik sebelum melanggar sebuah kenderaan dalam konvoi tersebut.

Tambah beliau, wanita berusia 28 tahun itu dipukul pemandu kenderaan mewah terbabit ketika dihalang di lokasi berkenaan pada pukul 6.10 petang. 

Pemandu trak pikap tersebut bagaimanapun direman ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada pukul 1 pagi, Isnin lalu.

Baru-baru ini, tular satu video berdurasi 1 minit 14 saat di media sosial yang menunjukkan sebuah Ford Ranger dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah Lamborghini berhampiran susur keluar Sedenak.

Pemandu Ford Ranger dipercayai cuba memotong konvoi Lamborghini secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah kereta mewah tersebut ketika cuba memasuki lorong kiri.

Disebabkan pelanggaran itu, konvoi Lamborghini berkenaan tidak berpuas hati lalu menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya dan berlaku perselisihan faham antara mereka.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN