PORT DICKSON: Hotel milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) iaitu Klana Beach Resort Port Dickson menyasarkan kehadiran 300 pelanggan sehari menerusi tawaran bufet Ramadan tahun ini.
Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata, sasaran pelanggan tersebut dijangka tercapai susulan negara bakal memasuki peralihan ke fasa endemik.
“Di jangka seramai 3,500 orang pelanggan akan berbuka puasa di hotel ini pada bulan Ramadan tahun ini.
“Bagaimanapun, saya berharap pihak hotel mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti mengamalkan penjarakan sosial, memakai sarung tangan serta memakai pelitup muka. Kita mesti terus berhati-hati kerana kes jangkitan Covid-19 masih tinggi,” kata beliau selepas majlis previu bufet Ramadan Klana Beach Resort Port Dickson di sini semalam.
Turut hadir, Pengurus Hotel Klana Beach Resort Port Dickson, Dzarudin Che Omar.
Masakan tradisi Negeri Sembilan menjadi konsep kepada penganjuran bufet Ramadan hotel tersebut dengan beberapa sajian asli seperti rendang ayam pencen, ikan keli salai air asam dan rendang maman selain menu istimewa iaitu kibas golek.
“Kami menawarkan harga serendah RM55 (dewasa) bagi pembelian baucar awal manakala RM68 bagi dewasa dan RM30 bagi kanak-kanak dan warga emas.
“Klana Beach Resort Port Dickson turut menyediakan kemudahan surau untuk solat Maghrib, Isyak dan solat tarawih yang dipimpin oleh imam jemputan khas,” katanya.- UTUSAN