KKM perinci SOP ulang-alik ke Singapura - Utusan Malaysia

KKM perinci SOP ulang-alik ke Singapura

KHAIRY Jamaluddin (tengah) bersama-sama Anuar Manap (kiri) turun padang berkempen menyantuni penduduk setempat di Kampung Tengah, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Prosedur operasi standard (SOP) khas bagi perjalanan ulang-alik harian ke Singapura bagi rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu sedang diperincikan oleh Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia dijangka dimuktamadkan minggu depan selepas penelitian beberapa aspek dibuat termasuk perbincangan dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

“Untuk mereka yang berulang-alik ini, jika kita syaratkan mereka kena buat ujian Covid-19 setiap kali (rentas sempadan), tidak praktikal. Jadi kita sedang memuktamadkan formula, mungkin ujian itu dibuat sekali seminggu dan mereka kena tunjuk bukti ujian yang dilakukan itu dalam tempoh seminggu.

“Saya harap minggu depan SOP ini dapat kita muktamadkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tengah, Segamat hari ini selepas bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Manap.

Tambah Khairy, perbincangan berkaitan SOP berkenaan bukan sahaja bersama Singapura, tetapi turut melibatkan negara-negara jiran lain seperti Thailand dan Brunei.

“Ini kerana sempadan darat ini melibatkan mereka yang berulang-alik setiap hari untuk tujuan kerja yang mana mereka perlu satu SOP khas yang sedikit berbeza daripada pengembara biasa,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pintu sempadan negara dibuka bermula 1 April ini.

Sementara itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menyelar dakwaan kononnya kerajaan sengaja melewatkan pembukaan sempadan negara bagi menghalang kemasukan pengundi luar khususnya mereka yang bekerja di Singapura.

Beliau berkata, kerajaan Singapura masih belum bersedia membuka sepenuhnya sempadan mereka meskipun Malaysia sudah membuat keputusan buka pintu antarabangsa itu pada 1 April ini.

“Saya nak jawab apa yang dikatakan oleh pembangkang berkaitan sempadan negara kita dengan Singapura kerana kebanyakan pengundi luar Johor yang berada di luar negara, ada di Singapura.

“Saya nak maklumkan Singapura sendiri belum sedia untuk buka sempadan negara dan (apabila) saya bangkitkan perkara ini, pihak Singapura minta tunggu dulu untuk buka sempadan darat.

“Malah, walaupun kita dah setuju buka bermula 1 April, dia (Singapura) belum setuju buka sempadan mereka, jadi di sini bukan salah kita yang mana kita sudah bersedia tetapi mereka kata belum sedia buka sepenuhnya sempadan mereka,” katanya.

Khairy berkata, isu itu tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan perlu memahami keputusan kerajaan dalam skop yang lebih luas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya