PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan peningkatan semula kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 15,215 kes berbanding kelmarin, 13,336 kes sekali gus terus diatasi 24,154 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam turut merekodkan penurunan kepada 282 kes berbanding kelmarin, 288 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 176 kes berbanding kelmarin, 185 kes.
“Bagi kluster Covid-19 pula, dua kluster baharu direkodkan bersamaan kelmarin, dua kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,931 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 214 kluster berbanding kelmarin, 217 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,717 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 134 kes daripada 15,215 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 15,081 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 134 kes kategori tiga, empat dan lima, 48 kes (35.82 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 50 kes (37.31 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 36 kes (26.87 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 69 kes (51.49 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas; 71 kes (52.99%) mempunyai komorbid; dan dua kes (1.49 peratus) kes adalah kes ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 64 kes berbanding semalam, 54 kes.
Rekod tersebut adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 34,906 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 14 daripada 64 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,362 kes. – UTUSAN