PETALING JAYA: Penggunaan vaksin Sinovac untuk golongan kanak-kanak berusia lima sehingga 11 tahun kini diluluskan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadi vaksin Covid-19 kedua diluluskan selepas Comirnaty.
Katanya, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370 yang bersidang hari ini.
“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.
“Kementerian Kesihatan juga sentiasa komited mempertingkat akses rakyat kepada produk vaksin bagi tujuan pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun bermula sejak 3 Feb lepas dan sehingga kini, hampir sejuta kanak-kanak telah menerima dos pertama vaksin. – UTUSAN