Kerajaan Kedah cadang MKN bina rumah baharu tersusun di Bukit Malut

Kerajaan Kedah cadang MKN bina rumah baharu tersusun di Bukit Malut

KEADAAN perkampungan di Bukit Malut, Langkawi yang semakin padat sehingga berlaku aktiviti penerokaan untuk pembinaan rumah dan dikatakan tidak selamat sekiranya berlaku bencana. - UTUSAN/ SHAHIR NO0RDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah  mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya membina sebanyak 1,200 buah rumah baharu secara tersusun untuk memindahkan penduduk di penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, rumah baharu tersebut bakal dibangunkan di kawasan seluas 24 hektar daripada 77 hektar tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang  terletak di Bukit Malut itu.

MUHAMAD SANUSI MD. NOR

Menurutnya,  pembinaan rumah tersebut akan memberi kemudahan kepada penduduk di penempatan haram itu tinggal.dalam keadaan lebih selesa selepas ini.

Katanya, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan antara MKN, Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta pihak yang berhasrat membangunkan kediaman tersebut.

“Perkara ini sedang berada di pihak MKN untuk persetujuan sama ada tanah LKIM itu akan dibuat pengambilan secara berbayar atau diambil begitu saja atas faktor keselamatan kerana ‘projek’ menyusun atur penempatan golongan tersebut sudah terlalu lama, sejak 1980-an lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan peserta pasukan Malaysia Everest 2022 di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 7 Mac lalu melaporkan penduduk di perkampungan haram Bukit Malut kecewa terhadap kerajaan negeri yang lambat bertindak dalam menyelesaikan isu penempatan di kawasan itu yang semakin padat.

Kebanyakan penduduk terbabit yang mendakwa bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, sebaliknya merupakan rakyat Malaysia mahu diberi perhatian memandangkan mereka selama ini dipinggirkan oleh kerajaan.

Muhammad Sanusi memberitahu,  kerajaan negeri bersedia untuk membantu MKN memindahkan penduduk di penempatan haram tersebut dengan segera.

“Mungkin MKN pun ada halangan tertentu tetapi kita bersedia untuk bantu. Kita pun tak mahu penempatan itu semakin hari, semakin berkembang dan bertambah besar.

“Kita nak mereka duduk macam orang Langkawi lain iaitu dalam keadaan tersusun, teratur dan terurus, mengikut peraturan ditetapkan,” ujarnya.

Beliau menambah, isu tersebut dianggap tidak terlalu kompleks kerana penduduk di Bukit Malut itu juga bersedia membeli rumah di penempatan baharu yang disediakan untuk mereka.

“Kalau MKN kata ‘okey’ dan sedia untuk bangunkan kediaman itu melalui apa jua cara kewangan termasuk  Inisiatif Kewangan Swasta (PFI), pembayaran berperingkat (Staggered payment) atau pembayaran kemudian (deferred payment), kita sedia membantu pada bila-bila masa untuk melancarkan proses pembinaan rumah baharu tersebut.

“Kita nak selesaikan isu ini secepat mungkin dan kalau tak buat semasa saya, masa akan datang belum tentu akan ada orang usahakan. Saya tak ada kepentingan apa, cumanya saya nak kawasan itu teratur dan mereka dapat kediaman sama seperti orang lain,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN