Kerajaan dijangka tampung subsidi petrol RM2.5 bilion sebulan

Harga minyak naik, kerajaan dijangka tampung subsidi petrol RM2.5 bilion sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menampung jumlah subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak atau liquefied petroleum gas (LPG) lebih RM2.5 bilion sebulan susulan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, harga minyak mentah dunia naik mendadak ke paras melebihi USD100 setong iaitu paras tertinggi sejak 2014 ekoran pergolakan Rusia dan Ukraine.

Beliau berkata, sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi USD100 setong, jumlah subsidi itu bagi keseluruhan tahun 2022 dijangka mencecah RM28 bilion, berbanding RM11 bilion bagi tahun lalu.

“Ketika ini kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi petrol, diesel dan LPG yang ketara sehingga 10 kali ganda iaitu meningkat daripada RM200 juta untuk Januari tahun lalu kepada lebih daripada RM2 bilion pada Januari 2022.

“Ia susulan harga minyak mentah dunia menurut ‘Brent Crude Oil’ telah menunjukkan trend peningkatan yang signifikan iaitu sebanyak USD85 setong pada bulan ini berbanding Januari 2021 sebanyak USD55 setong,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata bagi menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai penyelarasan program subsidi petrol, diesel dan LPG perlu diadakan memandangkan harga antarabangsa bagi minyak mentah dan gas asli naik mendadak pada ketika peperangan Rusia- Ukraine yang sedang meruncing.

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

Perbezaan

Menurut Tengku Zafrul, pengguna pada masa ini hanya membayar RM2.05 seliter untuk petrol RON95 tetapi kos sebenar dalam bulan Mac telah mencecah RM3.70 seliter untuk petrol. 

“Ini bermakna kerajaan terpaksa menampung perbezaan sebanyak RM1.65 setiap liter. Sebagai contoh, setiap kali kita pergi ke pam minyak dan kita mengisi minyak dengan nilai RM100 atau kira-kira 49 liter, jumlah yang dibayar oleh kerajaan adalah sebanyak RM81.

“Ini bermaksud subsidi kerajaan adalah sehingga 45% daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar. Bagi diesel pula, pengguna hanya membayar RM2.15 seliter di stesen minyak sementara kos sebenar telah juga melebihi RM4 seliter,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan akan mengkaji mekanisme subsidi petrol supaya ia lebih bersasar dan menumpukan subsidi kepada golongan rentan dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya