PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki tempatan selepas disyaki terlibat dalam kes kehilangan tong sampah roro di sekitar daerah Sentul pada 11 Mac lalu.
Penahanan lelaki berusia 35 dan 40 tahun itu dilakukan dalam dua serbuan di Bandar Baru Sentul serta Kampung Laksamana Batu Caves pukul 11 pagi hingga 7.30 petang.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek telah bergiat aktif dalam kegiatan kecurian itu sejak setahun lalu.
Kata beliau, pihaknya pada mulanya telah menerima laporan berkaitan tong sampah roro di Taman Kok Lian, dekat sini pukul 4.25 petang pada 19 Februari lalu.
“Susulan laporan diterima, kami telah menahan dua lelaki selain merampas lima tong sampah roro bernilai RM40,000 serta lori yang dipercayai digunakan oleh suspek bagi mencuri tong sampah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Eng Lai, modus operandi digunakan kedua-dua suspek adalah dengan mencuri tong sampah roro yang diletakkan di hadapan deretan kedai dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar daerah ini.
Ujar beliau, suspek kemudiannya akan mewarnakan semula atau memadamkan nama syarikat pada tong sampah roro berkenaan sebelum menyewakannya pada kadar antara RM200 hingga RM400 sehari bergantung kepada saiz.
“Dengan penahanan kedua-dua suspek terbabit yang masing-masing bekerja sebagai kontraktor dan pemandu lori, kami yakin berjaya menyelesaikan lima kes kehilangan tong sampah roro yang dilaporkan di daerah ini.
“Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek terbabit mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk berkaitan dadah,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, kedua-dua suspek direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN