Kedai telefon jadi tempat edar dadah - Utusan Malaysia

Kedai telefon jadi tempat edar dadah

KAMARUL Zaman Mamat menunjukkan rampasan dadah yang dibuat di sebuah kedai telefon di Larkin pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegiatan sindiket dadah berselindung di sebalik kedai telefon di kawasan Larkin, di sini bagi mengedar bahan terlarang itu terbongkar apabila diserbu polis, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM746,890.

Beliau berkata,  polis turut menahan dua lelaki tempatan yang berusia 31 dan 34 tahun bersama sejumlah rampasan dadah.

“Modus operandi sindiket yang  beroperasi sejak November lalu adalah dengan menjadikan kedai telefon bimbit itu sebagai stor penyimpanan dadah untuk pasaran tempatan.

“Dengan tumpasnya sindiket ini, polis  merampas dadah iaitu 1.7 kilogram (kg) pil ekstasi, 1.35kg ketamin dan 7kg pil erimin 5 dengan jumlah keseluruhan RM746,890,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Polis turut merampas dua buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM37,900 serta matawang Singapura berjumlah RM16,340.

Kamarul Zaman berkata, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah. 

Katanya, dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 43,295 orang penagih.

“Kita masih mengesan saki baki ahli sindiket tersebut selain memperoleh maklumat dari mana mereka mendapatkan bekalan dadah sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya. 

Kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula tarikh tangkapan hingga Rabu ini bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN