ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah mencadangkan Kerajaan Persekutuan membenarkan kegiatan mengeksport ketum ke luar negara terutamanya ke Thailand.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, langkah itu secara tidak langsung dapat membanteras kegiatan penyeludupan yang kini berleluasa di sempadan Malaysia dan Thailand.
Selain itu katanya, kerajaan juga boleh memperoleh pendapatan cukai selain mengurangkan penggunaan tenaga, komitmen, sumber serta masa yang digunakan untuk membanteras kegiatan penyeludupan.
“Saya baru-baru ini menerima taklimat daripada agensi penguat kuasa yang menjaga keselamatan sempadan Malaysia-Thailand. Dalam taklimat tersebut, kesemua agensi terlibat termasuk tentera dan polis menjalankan tugas menangkap penyeludup ketum.
“Jadi mengapa tidak kita halalkan saja pengeksportan ketum ke negara jiran kerana mereka mengkomersialkan tanaman tersebut terutamanya dari segi perubatan. Kita tetapkan undang-undang tertentu bagi memastikan ketum tidak disalah guna oleh rakyat di sini sebaliknya khas untuk dieksport ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Tambahnya, beliau difahamkan harga ketum di pasaran tempatan hanya sebanyak RM30 sekilogram manakala di pasaran Thailand pula mampu mencecah RM150 sekilogram jika dihantar terus ke kilang.
Beliau dimaklumkan tanah di Kedah juga sesuai untuk pertumbuhan dan pembesaran spesies ketum terbaik yang digunakan dalam bidang perubatan di Thailand.
“Kalau Kerajaan Persekutuan setuju, kerajaan negeri bersedia melantik mana-mana syarikat milik kerajaan negeri (GLC) sebagai ejen tunggal bagi mengumpulkan komoditi ketum itu dan menjadi pengeksport secara sah. Jadi proses untuk ‘halalkan’ eksport daun ketum itu, saya minta agensi-agensi ini bincang. Kalau perlu kepada pindaan akta di Parlimen, kena bawa ke Parlimen. Kalau tak perlu dan boleh diselesaikan secara pentadbiran, bila-bila masa pun kita boleh sediakan GLC untuk jadi agensi yang ada lesen bagi membeli dan mengeksport ketum,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, situasi semasa ketika ini agak ‘menghairankan’ kerana tindakan menanam ketum tidak dianggap sebagai satu kesalahan namun daun itu tidak boleh dipetik dan diproses kerana dikatakan menyalahi undang-undang.
“Saya harap perkara ini diberi perhatian kerana rugi tanah dan tanaman yang banyak ini jika tidak kita benarkan’. Di Kedah ini pergilah ke kampung mana pun, memang ada ketum dan kadang-kadang tu siap ada ladang lagi. Jika dibenarkan untuk dieksport, tak perlulah orang kampung berlari-lari lagi (untuk menyeludup ketum) dan agensi penguat kuasa tak perlu ligan ‘merata’. Cuma kena pastikan komoditi itu untuk dieksport bagi tujuan perubatan, dan bukan dimasukkan dalam badan secara salah oleh orang kita yang mencampurkan air ketum dengan pelbagai bahan dan dipanggil ‘cakoroi’,” katanya. – UTUSAN