Kanak-kanak 11 tahun maut disyaki dibelasah di rumah anak yatim

Kanak-kanak 11 tahun maut disyaki dibelasah di rumah anak yatim

KOMPLEKS rumah anak yatim dan miskin lokasi seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia dipercayai dibelasah pelajar senior di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, difahamkan, mangsa Muhammad Hafdan Qurbani Azhar yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi di sini disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri.

Difahamkan, kejadian itu yang berlaku di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin terbabit berpunca hanya kerana kanak-kanak yang dibelasah itu disyaki mengambil duit sebanyak RM4.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dibawa tiga pelajar lain yang merupakan penghuni di situ dalam keadaan tidak sedarkan diri ke rumah penyelia asrama.  

“Penyelia asrama yang mengesyaki mangsa mengalami sawan membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia dan pengadu segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Polis kemudian telah menahan reman seorang pelajar berusia 16 tahun selama tujuh hari untuk siasatan lanjut kes tersebut,” katanya di sini hari ini.

Kompleks asrama berkenaan yang di bawah seliaan kerajaan negeri mempunyai kira-kira 36 penghuni yang terdiri daripada anak yatim dan anak-anak asnaf.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Jelasnya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan bangunan surau di kompleks berkenaan dan terdapat saksi dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, motif kejadian adalah kerana tidak berpuas hati dan ada unsur dendam suspek terhadap mangsa. 

Ujarnya siasatan awal juga mendapati mangsa disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga dia tidak sedarkan diri.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya