ALOR SETAR: Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim meminta agar orang ramai tidak menuduh mereka sebagai mata duitan kerana menerima wang pampasan RM1.5 juta daripada kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapa Allahyarham, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 66, berkata, tiada sejumlah wang di dunia ini mampu merawat rasa kehilangan terhadap Allahyarham Muhammad Adib walaupun sudah hampir empat tahun tragedi itu berlaku.
“Tiada timbang antara rasa kehilangan di hati kami sejak kematian arwah dengan wang RM1.5 juta ini. Malah tiada nilai yang dapat menandingi nyawa arwah dan keadilan untuk kematian dan pengorbanannya. Kami tahu apabila perkara ini tersebar tentang pampasan ini, semua akan menuduh kami mata duitan kerana menerimanya.
“Namun jauh di sudut hati, kami sentiasa berharap kematian Muhammad Adib akan terbela,” katanya ketika ditemui di Tebengau, dekat sini semalam.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membayar pampasan berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga anggota bomba berkenaan.
Menurut Mohd. Kassim, keluarga itu mempunyai alasan tertentu apabila membuat keputusan untuk menerima wang pampasan berkenaan yang ditawarkan kepada mereka November tahun lepas.
“Kami ada alasan kenapa menerima wang pampasan ini. Kira-kira setahun selepas kejadian kami sudah bercadang dengan peguam untuk menyaman kerajaan apabila melihat kes ini seolah-olah tiada kesudahan, kematian arwah seolah-olah tiada pembelaan.
“Kalau tindakan saman diambil, kami percaya kes akan berpihak kepada kami. Namun tahun lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertemu saya dan berbincang tentang tawaran pampasan ini. Kami setuju untuk terima dan menarik balik semua cadangan tuntutan sama untuk membela kematian arwah,” ujarnya,
Apabila ditanya tentang wang pampasan itu, kata Mohd. Kassim, keluarganya tidak berhasrat untuk membelanjakan wang berkenaan sesuka hati sebaliknya bercadang untuk memberi infaq dan sedekah atas nama arwah.
“Tengoklah kehidupan kami, masih seperti dahulu tak adalah nak beli rumah dan kereta. Kami orang kampung selesa dengan kehidupan seperti biasa sahaja.
“Duit ini ada yang kami akan infaq dan sedekah atas nama arwah. Mungkin juga kami akan menunaikan umrah atau haji nanti. Duit ini kami akan atur sebaik mungkin kegunaannya,” katanya.
Muhammad Adib, 24, Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17
Disember 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui. – UTUSAN











