PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menetapkan sasaran untuk mencapai kadar 95 peratus daripada jumlah bayi yang disaring pendengaran daripada keseluruhan kadar kelahiran hidup.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pada ketika ini jumlah itu baru mencecah purata 62 peratus sahaja iaitu masih rendah berbanding kadar standard antarabangsa yang ditetapkan.
“Meskipun memang ada beberapa hospital di negara ini sudah melepasi kadar 90 peratus, namun sebahagian besar belum pun mencecah tahap itu dan ia perlu diperbaiki lagi,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Auditorium Hospital Serdang, Selangor, dekat sini hari ini.
Jawatankuasa Bersama Pendengaran Bayi (JCIH) yang berpusat di Amerika Syarikat dan ditubuhkan sejak 1969, menetapkan kadar 95 peratus bagi pengesanan awal bayi selepas lahir bagi membolehkan pakar otorinolaringologi (ORL) membuat rawatan pada peringkat usia muda yang sekali gus membantu pertumbuhan kanak-kanak itu dapat membesar secara normal.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021, lebih 1.5 bilion penduduk di seluruh dunia mengalami masalah pendengaran disebabkan oleh pelbagai faktor.
Di Malaysia pula, rekod Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati 7.6 peratus atau anggaran 1.9 juta penduduk negara ini ada mengalami masalah pendengaran.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, 40,743 individu Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran sudah pun berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 31 Disember lalu.
“Statistik ini adalah rendah dan saya menyeru OKU yang belum berbuat demikian untuk tampil segera bagi mereka dapat hak dan peluang saksama dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
Pada masa sama, bagi mendokong Akta OKU 2008, pihak kementerian mengambil langkah mengenal pasti masalah sejak awal usia melalui Program Saringan Pendengaran Neonatal.
Sehingga kini ujarnya, terdapat 44 buah hospital awam yang melaksanakan program itu dengan pakar ORL mendapati hanya nisbah empat bagi setiap 1,000 bayi ada masalah tersebut.
Inisiatif pengesanan awal jelasnya, akan memberi impak ketara terhadap masa depan bayi itu terutama kos rawatan dan rehabilitasi, sedangkan kebanyakan risiko tersebut boleh dicegah.
Justeru kata Khairy, program saringan awal itu bakal dijadikan salah satu agenda kesihatan kebangsaan pada masa akan datang selari dengan amalan di negara-negara maju yang lain. – UTUSAN










