BAGAN SERAI: Orang awam dinasihat tidak mengambil tindakan sendiri apabila berlaku kemalangan jalan raya sehingga boleh menyebabkan kekecohan dan berunsur perkauman seperti yang berlaku di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, kemalangan itu yang melibatkan tiga kenderaan dan satu kematian di Kuala Kurau dekat sini telah mencetuskan sedikit kekecohan.
Menurutnya, tindakan pantas pihak polis yang segera ke lokasi kejadian dapat meleraikan suasana tegang yang tercetus disebabkan kemalangan itu.
“Ini kes kemalangan, jadi biar pihak polis trafik yang buat siasatan. Orang awam yang berada di tempat kejadian dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri hingga boleh menjadi pergaduhan dan unsur perkauman.
“Sekiranya berlaku sebarang rusuhan, tindakan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan boleh diambil terhadap mana -mana individu yang terlibat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 Peringkat Kerian di Bagan Serai, di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada kira-kira pukul 9.20 malam Jumaat lalu, seorang penunggang motosikal, Mohamad Redzwan Shahril, 18, maut di tempat kejadian manakala pemboncengnya kecederaan parah di kepala.
Kemalangan di Jalan Siakap berhampiran Klinik Kesihatan Kuala Kurau itu melibatkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Isuzu yang memotong sebuah kereta Proton Waja lalu memasuki laluan bertentangan motosikal jenis SYM yang dinaiki mangsa dan rakannya hingga berlaku pertembungan.
Kemalangan menyebabkan timbul salah faham dalam kalangan orang awam di lokasi kejadian.
Sementara itu, Mazuki meminta orang awam agar kekal patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam memakai pelitup muka dan mengimbas MySejahtera walaupun negara memasuki fasa endamik Covid-19 pada 1 April ini.
Menurutnya, polis tetap menjalankan pemantauan SOP di tempat-tempat awam bagi memastikan orang ramai terus mematuhi sop ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Fasa endemik bukan bermakna wabak Covid-19 sudah tiada atau kita sudah bebas daripada semua SOP.
“Hanya beberapa perkara yang telah diberi kelonggaran dalam SOP contohnya penjarakan fizikal dilonggarkan sedangkan pemakaian pelitup muka dengan sempurna dan imbas kod MySejahtera masih berkuatkuasa,” katanya. – UTUSAN