PUTRAJAYA: Isu migrasi dan buruh paksa akan dimasukkan sebagai salah satu agenda tetap perbincangan dalam Dialog Strategik United Kingdom (UK) – Malaysia bermula tahun ini.
Perkara itu dicadangkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan ketika pertemuan bersama Pesuruhjaya United Kingdom Mengenai Migrasi dan Perhambaan Moden, Andrew Patrick dalam siri lawatan ke London, semalam.
Saravanan menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, cadangan itu disambut baik oleh Patrick dan ia akan dijadikan sebagai agenda tetap tahunan.
“Saya akan mengutarakan cadangan ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang. Saya percaya usaha ini akan membuahkan hasil yang positif kerana isu migrasi dan buruh paksa perlu ditangani melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Katanya, pada pertemuan sama, beliau berkongsi inisiatif kerajaan untuk menangani isu buruh paksa yang dikaitkan dengan penghasilan produk syarikat Malaysia.
Saravanan berkata, perbincangan turut berkait mengenai langkah Malaysia meminta dan penguatkuasaan akta perburuhan, Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa (NAPFL) dan aplikasi mudah alih Working for Workers.
Menurutnya, turut dibincangkan bersama termasuk cadangan pelaksanaan ‘eWages’ dan latihan induksi wajib kepada pekerja warga asing setibanya mereka di Malaysia.
“Dalam hal ini, UK mengambil pendekatan yang agak berbeza dengan sekatan eksport yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. UK lebih menekankan kepada tindakan pencegahan dan pembetulan yang boleh diambil oleh syarikat yang terlibat dalam amalan buruh paksa,” katanya.
Katanya, UK juga mengenakan tindakan keras ke atas syarikat yang dikenal pasti mengamalkan buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, UK menghargai tindakan Malaysia meratifikasi Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa berhubung buruh paksa (Protokol 29). – UTUSAN










