PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan menyediakan kemudahan lokar di 10,662 kelas di sekolah rendah dua sesi di seluruh negara sebagai satu penyelesaian menangani isu beg berat.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, bagi fasa pertama, kemudahan lokar itu akan disediakan bagi sekolah rendah dua sesi di mana ia akan dimanfaatkan seramai 323,000 murid Tahap 1 iaitu Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 dengan penyediaan kemudahan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM37.3 juta.
“Bagi fasa dua pula, kemudahan lokar bagi murid Tahap 2 di sekolah rendah dua sesi iaitu Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 pula akan disediakan pada tahun 2023. Penyediaan lokar ini adalah pendekatan baharu yang tidak pernah dilaksanakan kementerian selama ini,” katanya menerusi rakaman video di Facebook, hari ini.
Katanya, murid sekolah rendah satu sesi pula dibenarkan untuk menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.
Radzi berkata, penyediaan kemudahan lokar itu adalah antara tujuh pendekatan diambil kementerian bagi mengatasi isu beg berat yang membelenggu murid sejak 30 tahun lalu.
“Pendekatan lain termasuk menyusun semula jadual waktu di mana hanya tiga atau empat mata pelajaran diajar sehari selepas mengambil kira pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan. Sekolah juga akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu di mana hanya subjek tertentu akan diajar dalam sesuatu minggu itu sekali gus mengurangkan buku teks yang dibawa,” katanya.
Katanya, pihaknya juga menetapkan bilangan buku latihan untuk satu mata pelajaran tidak melebihi dua buah buku dalam satu-satu masa dan setiap buku tidak melebihi 80 muka surat dan ia penting bagi mengurangkan buku yang dibawa sekali gus meringankan beg sekolah murid berkenaan.
Radzi berkata, pihaknya juga menetapkan supaya murid menggunakan buku latihan dan buku kerja yang disediakan kementerian sahaja dan buku kerja lain hanya boleh digunakan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran selain menumpukan kepada penerbitan berterusan baharu buku teks digital.
Katanya, ketika ini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam plantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) di mana ia boleh diakses terus murid menerusi peranti masing-masing.
“Sementara itu kita menggalakkan guru supaya menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid termasuk pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab). Kementerian Pendidikan juga akan menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membolehkan murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) memakai pakaian seragam sekolah tanpa perlu membawa seragam KAFA dalam beg sekolah.
“Kementerian akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi memantau pelaksanaan tujuh pendekatan itu secara berkala. Kami juga mahu ibu bapa membantu Kementerian Pendidikan dan anak sekolah bagi memastikan anak-anak membawa buku mengikut jadual ditetapkan. Kami dapati ramai murid sekolah membawa kesemua buku sekolah dan tidak mengikut jadual waktu dan mata pelajaran ditetapkan pihak sekolah,” katanya. – UTUSAN