IPPT bakal dinaik taraf menjadi Pusat Perubatan USM - Utusan Malaysia

IPPT bakal dinaik taraf menjadi Pusat Perubatan USM

FAISAL Rafiq Mahamd Adikan bertanya khabar kepada seorang pesakit yang datang mendapatkan rawatan di IPPT USM Kampus Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Selepas dua dekad beroperasi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang merupakan salah satu daripada pusat kecemerlangan di bawah Universiti Sains Malaysia (USM) kini semakin mengorak langkah menjadi lebih maju dan berdaya saing.

Bermula dengan kejayaan menerima akreditasi sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy atas kecemerlangannya dalam bidang brakiterapi dua tahun lalu, IPPT kini akan melalui proses menaik taraf untuk dijenamakan sebagai Pusat Perubatan USM.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, kerja-kerja menaik taraf itu dijangka bermula sekitar Jun ini dengan penukaran papan tanda yang berkaitan dan sebagainya.

“Saya fikir dalam tempoh satu atau dua tahun lagi terutamanya jika USM terima peruntukan daripada RMK (Rancangan Malaysia Ke-12), menjelang 2024 atau 2025 kita boleh buka (pusat perubatan) dengan perkhidmatan yang lengkap.

“Sebagai contoh, sekarang kita ada 40 katil di bahagian forensik dengan kebanyakan pesakit yang dihantar ke sini dirujuk daripada hospital lain. Mungkin pada masa depan jumlah itu akan terus bertambah,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran IPPT sebagai Pusat latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy di IPPT USM Kampus Bertam di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah IPPT, Dr. Tunku Kamarol Zaman Tunku Zainol Abidin dan Pengurus Pemasaran Klinikal Brachytheraphy Solutions Wilayah Asia Pasifik, Ulrich Krumme.

Meskipun beroperasi sejak 2002, perkhidmatan onkologi dan radioterapi di institut itu hanya bermula pada 2015 manakala perkhidmatan brakiterapi iaitu prosedur memasukkan bahan radioaktif ke dalam tubuh untuk merawat kanser dimulakan dua tahun kemudian.

Bagi brakiterapi, dua rawatan yang diberikan setakat ini ialah kanser pangkal rahim pada 2015 dan kanser lidah atau ‘Hybrid Brachyteraphy followed by Intensity Modulated Radioteraphy’ (HyBIRT) pada 2016.

Difahamkan ketika ini, hanya lima buah pusat rawatan di dunia termasuk IPPT USM yang menerima akreditasi untuk merawat kanser ginekologi serta lima bahagian anatomi lain iaitu esofagus, hati, prostat serta kepala dan leher.

Sehingga kini juga hampir 1,000 pesakit dari seluruh negara termasuk Indonesia dan Australia telah dirujuk ke IPPT untuk sesi perundingan manakala 578 pesakit lagi menjalani prosedur brakiterapi di situ.

Selain menawarkan perkhidmatan brakiterapi, onkologi dan radioterapi, IPPT turut menawarkan beberapa perkhidmatan lain menerusi kewujudan Pusat Penyelidikan Termaju, Pusat Penyelidikan Haiwan, Klinik Kesihatan Oral serta Pusat Rehabilitasi dan Perkhidmatan Klinikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.