Ikut langkah PM martabat Bahasa Melayu di pentas antarabangsa - Utusan Malaysia

Ikut langkah PM martabat Bahasa Melayu di pentas antarabangsa

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Semua pemimpin di negara ini disarankan mengikut langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memartabatkan Bahasa Melayu di pentas-pentas antarabangsa.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, Perdana Menteri membuktikan usahanya memperkasakan Bahasa Melayu di rantau Asia apabila menggunakan bahasa itu dalam sidang akhbar bersama pemimpin Brunei, Kemboja dan Thailand baru-baru ini.

Sehubungan itu, Pemenang menggesa semua pihak menyokong usaha Perdana Menteri dan menjadikan beliau sebagai contoh terbaik dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Perdana Menteri mengambil langkah secara proaktif merealisasikan usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca apabila menggunakannya di hadapan pemimpin dan wartawan asing di luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yussof, cita-cita menjadikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca adalah sesuatu yang diperkatakan sekian lama tetapi malangnya pemimpin negara sering menggunakan Bahasa Inggeris ketika berurusan di luar negara.

Jelasnya, usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca adalah tidak mustahil kerana dituturkan oleh ratusan juta orang dari rantau Asia iaitu Indonesia, Brunei, selatan Filipina dan selatan Thailand.

Tambahnya, Pemenang juga menggesa Ketua Setiausaha Negara mengeluarkan surat pekeliling supaya Menteri dan pemimpin kerajaan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dalam majlis-majlis bermula hari ini.

“Begitu juga, kenyataan-kenyataan rasmi hendaklah dikeluarkan dalam Bahasa Melayu termasuk kenyataan-kenyataan rasmi di media elektronik, media cetak dan media massa,” katanya.

Selain itu tambah beliau, Pemenang menggesa kerajaan mengambil langkah memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi termasuk sidang Parlimen, Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita dapati penggunaan bahasa rojak atau Bahasa Inggeris masih berlaku dalam kalangan wakil rakyat ketika sidang Parlimen. Ini adalah tidak wajar kerana tidak menghormati Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang sangat jelas menyatakan bahasa kebangsaa adalah Bahasa Melayu,” katanya.

Mohd. Yussof berkata, pihaknya berasa kecewa kerana selepas hampir 65 tahun merdeka, Bahasa Melayu seolah-olah bukan bahasa kebangsaan walaupun pelbagai usaha memartabatkannya masih diadakan seperti bulan bahasa dan dekad bahasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN