MELAKA: Selepas kurang mendapat sambutan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rentas negeri tidak dibenarkan pada Ramadan tahun lalu, Arang Cafe Kampung Hulu di sini terus bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menawarkan pakej berbuka puasa (iftar) di atas Kapal Mendam Berahi bermula 9 hingga 30 April ini.
Pemilik Arang Cafe, Asfa Danny berkata, beliau berharap ia akan mendapat sambutan orang ramai khususnya dari luar Melaka apabila negara memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April.
Menurutnya, program yang mula diperkenalkan pada 2021 kurang mendapat sambutan berikutan rentas negeri tidak dibenarkan, selain masalah air pasang menyebabkan kapal hanya dapat membawa orang ramai berbuka sekali sahaja.
“Pelbagai halangan yang dihadapi menyebabkan iftar yang diperkenalkan dengan kerjasama PPSPM tidak dapat beroperasi sepenuhnya, walaupun mendapat sambutan dan pertanyaan daripada orang ramai yang ingin merasai keunikan tersebut.
“Ramadan tahun ini saya teruskan program iftar di atas kapal milik PPSPM dan melihat potensinya lebih baik berbanding tahun lalu setelah negara bakal memasuki fasa endemik.
“Iftar kali ini kami tawarkan pakej yang lebih murah iaitu dengan hanya membayar RM640 untuk satu meja memuatkan lima atau enam orang,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran program, semalam.
Asfa menambah, bagi yang berminat untuk mengambil pakej penuh untuk 30 orang, harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM3,840.
Beliau berkata, menu yang ditawarkan adalah ikan siakap bakar sambal dan tiga rasa, sotong goreng tepung, udang mentega, kailan ikan masin, nasi lemak dan telur dadar.
Selain itu, katanya, minuman yang ditawarkan pula ialah jus buah, ais sagat katira, air mineral dan pelbagai jenis kuih-muih.
“Pelanggan akan dibawa menaiki Mendam Berahi lalu menyusuri Sungai Melaka dari Jeti Arang Cafe di Kampung Hulu hingga ke muaranya di hadapan Kapal Samudera serta berlabuh di situ untuk berbuka puasa.
“Sepanjang berada di kapal tersebut pelanggan akan diiringi persembahan Ghazal dan akustik pemuzik tempatan,” jelasnya. – UTUSAN