SERIAN: Seorang kerani bersama anak lelakinya terkorban sementara tiga yang lain hanya mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta semalam di Kilometer 55 Jalan Kuching-Serian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata kemalangan tersebut membabitkan kenderaan Suzuki Swift dan sebuah kereta pacuan empat roda Isuzu.
Katanya, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 47 tahun yang bekerja sebagai kerani di SMK Serian sedang memandu kereta Suzuki Swift bersama anaknya semasa kejadian.
“Mereka sedang dalam perjalanan dari Serian menuju ke arah Kuching apabila kereta mereka terbabas ke laluan sebelah lalu bertembung dengan kereta pacuan empat roda yang datang dari arah Kuching,” katanya.
Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa (ibu dan anak) tersepit di dalam kereta dan telah dikeluarkan oleh pihak Bomba yang tiba di lokasi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya mangsa (ibu) yang berasal dari Kampung Simpok, Padawan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik Hospital Daerah Serian di tempat kejadian, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Serian akibat kecederaan parah.
Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Daerah Serian untuk tindakan selanjutnya.
Pemandu dan dua lagi penumpang kereta pacuan empat roda terlibat yang mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.
Kes kemalangan tersebut masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987- UTUSAN