KOTA TINGGI: Sikap tidak sabar untuk mendominasi negeri menyebabkan parti-parti yang mempunyai hubungan baik di peringkat Persekutuan terpaksa bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, apa yang berlaku merupakan hasil perancangan pihak tertentu dengan memberi alasan ketidakstabilan yang sengaja dicetuskan.
“Kami tak ada masalah di peringkat Persekutuan, parti Barisan Nasional (BN), MCA, MIC, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS) hubungan kami sangat mesra tetapi terpaksa bertembung dalam PRN Johor.
“Ia akibat perancangan pihak tertentu untuk kami bertembung atas alasan tidak stabil, bila tidak stabilnya? Kita yang cetuskan ketidakstabilan itu. Kalau nak kestabilan kena tolak ansur sampai pilihan raya umum akan datang tetapi tidak sabar kerana ada dominasi, tak dominan kuasa dan harta,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) hari ini.
Katanya, rakyat tidak boleh membenarkan satu-satu parti itu menjadi dominan kerana pelbagai perkara boleh dilakukan dengan sesuka hati tanpa boleh dikacau.
Sebaliknya kata Awang, pemerintahan melalui multiparti akan membolehkan negara kini melalui satu perubahan pemerintahan yang lebih baik.
“Sekarang kita lalui satu perubahan lebih baik melalui multiparti untuk urus negara. Undi-18, rakyat boleh undi Perikatan Nasional melalui apa dilaksanakan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tiada parti ketika berdepan pandemik Covid-19 dapat memberi bantuan kebajikan sosial terbaik kepada rakyat seperti beliau lakukan.
“Sehinggakan negara lain pun tidak boleh buat seperti beliau. Pelbagai insentif diberi kepada rakyat dan majikan. Kalau inilah platform diambil golongan pengundi 18 tahun tidak seharusnya tolak PN dan seharusnya beri undi pada kita untuk masa depan,” katanya. – UTUSAN