Harga juadah bazar Ramadan Terengganu dijangka meningka

Harga juadah bazar Ramadan Terengganu dijangka meningkat

MOHD. Nurkhuzaini Ab. Rahman dalam sidang akhbar selepas Karnival Usahawan Terengganu (Kuat) di dataran jambatan angkat atau drawbridge di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan harga juadah di bazar-bazar meningkat sepanjang bulan Ramadan ini susulan ketidaktentuan ekonomi dunia. 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan jika krisis Rusia dan Ukraine berlarutan. 

“Jika perang berpanjangan, peningkatan harga barang pasti tidak dapat dielakkan.

“Rusia dan Ukraine adalah pengeluar gandum terbesar dunia. Tentunya keadaan ini memberi implikasi kepada peniaga kuih dan roti misalnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Karnival Usahawan Terengganu (Kuat) di dataran jambatan angkat atau drawbridge, di sini hari ini. 

Menjelang ketibaan Ramadan awal bulan depan, peniaga di beberapa negeri menjangkakan terpaksa menaikkan harga juadah yang dijual di bazar-bazar bagi menampung modal harga bahan mentah yang terus melambung.

Bayangan kenaikan tersebut diluahkan peniaga dan persatuan peniaga di Kedah, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan yang terpaksa membuat pilihan sama ada bersedia menjual dengan harga makanan lebih mahal atau tidak berniaga. 

Sehubungan itu, Mohd. Nurkhuzaini  menasihatkan peniaga agar tidak menaikkan harga juadah secara keterlaluan di samping  menggiatkan pemantauan agar tiada unsur-unsur pencatutan. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, kalangan peniaga bazar Ramadan di negeri ini berkemungkinan terpaksa mengecilkan saiz makanan atau minuman yang dijual sebagai pilihan terakhir untuk tidak menaikkan harga.

Katanya, langkah itu sekurang-kurangnya dapat membolehkan golongan berkenaan meraih sedikit pulangan susulan harga bahan mentah yang melambung di samping  harga tapak bazar yang tinggi. – UTUSAN

 

  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN