SEREMBAN: Harga bufet Ramadan pada tahun ini dijangka akan mengalami kenaikan berikutan berlakunya peningkatan harga barang mentah ketika ini.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, kenaikan harga tersebut antara sehingga 20 peratus bagaimanapun ia masih pada kadar yang berpatutan.
“Kebanyakan hotel terpaksa menaikkan harga bufet Ramadan susulan kenaikan harga barang. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan Lembah Klang, harga bufet Ramadan di Negeri Sembilan masih lagi lebih rendah.
“Masih ada lagi hotel yang menawarkan promosi pada harga RM45 malah ada juga yang memberikan pengurangan harga bufet Ramadan kepada golongan kanak-kanak dan warga emas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Karnival MAH NS, Festival Makanan Negeri Sembilan 2022 Sempena Ramadan, di sini semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Sembilan, Siti Mazlina Maidin.
Sementara menurut Haziz sebanyak 16 hotel dan resort di negeri ini terlibat dalam tiga hari karnival itu yang diadakan di pusat beli-belah Palm Mall di sini bagi mempromosikan jualan bufet berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan akan datang.
“Tahun lepas walaupun kapasiti untuk pelaksanaan bufet Ramadan perlu dihadkan namun sambutan juga sangat di luar jangkaan. Tahun ini dijangka akan lebih baik kerana pemansuhan had kapasiti 50 peratus bermula 1 April.
“Tahun lepas ada hotel yang tidak membuat bufet Ramadan tetapi tahun ini mereka kembali untuk menawarkannya. Menerusi kebenaran had maksimum kapasiti, saya jangka sambutan tahun ini akan lebih menggalakkan,” katanya.
Sementara itu, Siti Mazlina berkata, pihaknya akan membantu pihak industri pelancongan termasuk perhotelan di negeri ini untuk menarik semula kehadiran pelancong dalam fasa peralihan endemik.
“Kami melihat pemain-pemain industri perhotelan telah mula mempromosikan produk-produk mereka malah saya difahamkan sudah ada hotel yang telah mula menerima tempahan dari luar negara susulan pembukaan sempadan negara seawal 1 April ini.
“Saya yakin sektor pelancongan akan melonjak semula walaupun terdapat beberapa kekangan seperti penambahan kos bagi tujuan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – UTUSAN










