Bermaz Auto dijangka pulih berperingkat pada 2026

Bermaz Auto dijangka pulih berperingkat pada 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermaz Auto Berhad dijangka menunjukkan pemulihan berperingkat pada tahun kewangan 2026, disokong pelancaran model baharu seperti Mazda 3 1.5L, Mazda CX-60 serta momentum jualan kereta elektrik XPeng.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, jualan kenderaan Bermaz kini menunjukkan tanda pemulihan selepas tempoh kemerosotan teruk, dengan tempahan tertunggak melebihi 3,400 unit.

“Model baharu Mazda3 dan CX-60 yang dilancarkan pada September dan Oktober 2025 dijangka menyokong prestasi suku berikutnya.

“Selain itu, penamatan pengedaran Kia yang sebelum ini merugikan dijangka meningkatkan aliran tunai bebas Bermaz dan mengurangkan kos operasi.

“Syarikat juga mendapat sokongan daripada prestasi suku penuh model Mazda baharu dan kesan positif kadar pertukaran asing terhadap margin kenderaan import sepenuhnya (CBU),” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 68 sen sesaham berikutan pemulihan jualan yang dijangka berlaku secara berperingkat pada 2026.

Bagi sekutu Bermaz, Inokom dijangka mencatat pemulihan melalui peningkatan volum dan rasionalisasi kos, manakala Mazda Malaysia dijangka terus mencatat jualan lebih kukuh.

Prestasi XPeng pula menunjukkan momentum positif dengan jualan bulanan rekod melebihi 190 unit pada November 2025.

Maybank IB turut mengekalkan jangkaan bahawa Bermaz Auto kini keluar daripada fasa terendah dalam dua tahun terakhir dan prospek suku berikutnya lebih positif.

Sementara itu, MBSB Research berkata, kerjasama Bermaz dengan pengeluar kenderaan elektrik (EV) XPeng juga dilihat positif dengan sambutan baik terhadap model baharu mereka yang lebih luas.

“Ini memberi impak tambahan kepada pendapatan dan memperkukuh kedudukan syarikat dalam pasaran EV tempatan.

“Kami mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas Bermaz Auto dengan TP dinaikkan kepada 65 sen sesaham daripada 56 sen, selepas meningkatkan gandaan penilaian daripada enam kali kepada tujuh kali pendapatan sesaham (EPS) bagi unjuran tahun kewangan 2027.

“Langkah ini mencerminkan jangkaan pemulihan jualan dan potensi peningkatan keuntungan susulan penamatan pengedaran Kia.

“Dalam suku kedua 2026, Bermaz Auto mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras sebanyak RM18.7 juta, menjadikan jumlah separuh pertama 2026 RM27.3 juta atau 38 peratus hingga 40 peratus daripada anggaran penuh tahun ini,” katanya.

Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.25 sen sesaham, menjadikan separuh pertama 2026 berjumlah 2.0 sen sesaham.

“Walaupun pendapatan keseluruhan menurun negatif 14.0 peratus tahun ke tahun disebabkan kelembapan operasi domestik Mazda dan Kia, prestasi XPeng terus meningkat, dengan jualan meningkat 2.3 kali ganda berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

“Pemulihan Bermaz Auto adalah secara berperingkat, disokong oleh pesanan sekitar 3,000 unit untuk Mazda Malaysia dan 250 unit bagi XPeng,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN