JOHOR BAHRU: Kenaikan harga barangan industri khususnya simen atau konkrit bukan sahaja menjejaskan pemain industri pembinaan yang membangunkan projek perumahan tetapi turut memberi kesan akhir kepada bakal pembeli.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pembina Johor, Kong Weng Keong berkata, kenaikan harga secara mendadak juga dijangka membawa kesan negatif yang berterusan kepada keseluruhan ekonomi dan industri.
“Apabila harga pembinaan sudah ditetapkan dalam sesuatu projek baharu tetapi kemudian harga barang binaan industri meningkat dengan mendadak, ia boleh menyebabkan harga rantaian bekalan lain yang berkaitan mula mewujudkan kesan rantaian yang serius.
“Salah satu impak yang buruk dan menakutkan adalah kesan-kesan atas kenaikan harga rumah yang akhirnya pasti menjejaskan kemampuan kumpulan B40 dan M40 untuk memiliki rumah sendiri,” katanya di sini, semalam.
Tambah Weng Keong, kenaikan harga simen dan konkrit dalam masa yang singkat menyebabkan mereka juga tidak bersedia dalam keadaan mental dan fizikal.
Kata beliau, mereka menjadi mangsa pertama yang menanggung beban kerana kontraktor yang menjalankan projek sangat bergantung kepada penggunaan simen atau konkrit sebagai bahan mentah pembinaan utama.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pembina Melaka, Datuk Lim Hau Jan berkata, beberapa cadangan dikemukakan untuk mengatasi atau memudahkan semua pihak antaranya seperti notis awal kenaikan harga.
“Dicadangkan untuk memberi notis dalam jangka masa seawal enam bulan hingga setahun dan menaikkan harga secara beransur-ansur serta bukannya secara mengejut atau pada satu masa tanpa notis awal.
“Kita juga cadangkan agar menetapkan kadar bekalan untuk semua projek semasa pengeluaran dan pembekal pula dicadang menyediakan pakej harga asal serta mengekalkan harga yang telah dirunding untuk terus membekalkan barang kepada semua projek,” katanya.
Tambah Hau Jan, pengilang dan pembekal turut dicadang merumuskan mekanisme peningkatan bagi mengawal julat setiap kenaikan harga bagi mencapai kesedaran sosial tentang kewujudan dalam keadaan menguntungkan semua pihak.
Malah, beliau turut meminta kerajaan dan badan profesional seperti Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) mengetuai advokasi untuk mengkaji semula klausa variasi harga (VOP) dalam borang kontrak pembinaan semasa.
“Memahami kedua-dua borang kontrak PAM dan IEM adalah bentuk kontrak yang paling diterima pakai dalam sektor swasta, persatuan kami berusaha untuk mencadangkan semakan semula klausa semasa yang tidak membenarkan kontraktor membuat tuntutan ke atas variasi harga bahan dalam amalan.
“Kami tahu kerajaan menyediakan elaun perubahan harga atau VOP untuk projek kerajaan berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan pada tahun lalu, maka peranan PAM dan IEM penting untuk kaji semula secara adil agar mencapai keseimbangan dalam keseluruhan ekologi ekonomi pembinaan,” katanya. – UTUSAN










