maut digilis

Hajat tunai umrah tak kesampaian

KERETA Proton Wira yang melalui lorong paling kanan gagal mengelak mangsa di atas jalan lalu menggilisnya dalam kemalangan di Lebuh AMJ berhampiran Melaka Sentral, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perjalanan sepasang suami isteri untuk urusan umrah berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya maut dalam nahas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa, Adawiyah Zakaria, 41, yang membonceng motosikal jenis Modenas GT128 dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka. 

Suaminya, Looy Mohammad Brah, 34, turut mengalami kecederaan parah dan turut dikejarkan ke zon merah hospital sama.  

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku selepas motosikal ditunggang pasangan itu melanggar bahagian belakang sebuah kereta. 

Katanya, nahas berlaku ketika mangsa yang merupakan peniaga restoran di Medan Selera Limbongan dalam perjalanan dari arah Pasar raya Lotus menghala ke Malim.

“Setiba di lokasi motosikal pasangan itu telah melanggar bahagian belakang kanan kereta jenis Mazda CX-5 dipandu kerani berusia 47 tahun dari arah sama. 

“Akibat kemalangan itu, pembonceng wanita telah tercampak ke tengah jalan, manakala suaminya ke lorong paling kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dalam masa sama, sebuah kereta jenis Proton Wira yang melalui lorong paling kanan gagal mengelak mangsa di atas jalan lalu menggilisnya. 

“‘Mangsa telah terperosok di bawah kereta tersebut dan mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan. 

“Difahamkan pasangan suami isteri itu dalam perjalanan menguruskan beberapa dokumen untuk mengerjakan umrah pada tahun ini,” jelasnya. 

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN