MARAN: Memandangkan persekolahan sesi baharu akan dimulakan tidak lama lagi, guru memohon agar Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sekali bayar RM100 yang diumumkan dalam Bajet 2022 pada tahun lalu disegerakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, guru, Mohd. Rafie Ismail, 42, berkata, pemberian insentif itu bertujuan menampung perbelanjaan guru membeli kelengkapan sepanjang pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Selain itu beliau berkata, pemberian insentif tersebut juga sebagai penghargaan buat guru yang telah bertungkus-lumus menjalankan PdPR ketika musim pandemik Covid-19.
“Kerajaan mengumumkan pemberian insentif RM100 secara sekali bayar kepada sekitar 400,000 guru seluruh negara sebagai mengenang jasa guru melaksanakan PdPR.
“Namun tidak dimaklumkan bilakah insentif itu akan diberikan kepada kami. Kami harap disegerakan supaya ia dapat dimanfaatkan oleh guru bagi memulakan sesi persekolahan baharu nanti,” katanya di sini semalam.
Ketika membentangkan Bajet 2022 pada 29 Oktober tahun lalu, kerajaan buat pertama kalinya bersetuju menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sekali bayar RM100 sebagai menghargai peranan guru-guru ketika sesi PdPR.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menerusi bantuan tersebut, lebih 400,000 guru sekolah di Kementerian Pendidikan bakal menikmati manfaat berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd. Rafie berkata, dengan insentif yang diberikan itu dapat dimanfaatkan guru untuk membeli kelengkapan sebagai persediaan bagi memulakan sesi persekolahan baharu pada tahun ini tidak lama lagi.
“Rata-rata guru sanggup mengeluarkan wang belanja sendiri demi memberikan pendidikan yang terbaik buat pelajar. Setidaknya insentif yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan guru untuk membeli kelengkapan pengajaran dan pembelajaran anak murid,” katanya.
Beliau dalam pada itu merakamkan setinggi penghargaan buat kerajaan atas pemberian terbabit yang dikatakan memperuntukkan sekitar RM400 juta.
“Walaupun jumlahnya tidak besar mana, cuma RM100, namun kami sebagai guru amat menghargainya dan menganggap usaha keras kami sepanjang PdPR dipandang tinggi.
“Ia bukanlah sesuatu tugasan yang mudah untuk dilaksanakan memandang ramai guru yang terpaksa berdepan dengan pelbagai kekangan terutama dari sudut kelengkapan yang biasanya terdapat di sekolah,” katanya. – UTUSAN










