SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan selepas berlakunya gempa bumi kuat di Sumatera, Indonesia awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, JBPM Negeri Sembilan, Penguasa Kanan Bomba II, Zamhuri Zainnordin berkata, pihaknya juga tidak menerima apa-apa aduan berkaitan kerosakan atau retakan pada mana-mana bangunan susulan gegaran yang dikatakan turut dirasai di negeri ini.
“Setakat ini tidak menerima apa-apa panggilan berkaitan dengan itu. Bagaimanapun seperti biasa kami akan memantau setiap perkembangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini memaklumkan gempa bumi kuat dengan magnitud
6.7 pada skala Richter berlaku di Sumatera, Indonesia pada pukul 5.09 pagi tadi.
Gempa pada jarak 89 kilometer barat laut dari Siberut, Indonesia turut menyebabkan gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung Malaysia terutama di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. – UTUSAN