PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi jaminan gempa bumi yang melanda Sumatera, Indonesia tidak membawa ancaman kepada negara.
Ini selepas agensi itu mengesahkan bahawa gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada 5.09 pagi ini.
Katanya, gempa itu berlaku pada kedudukan 89 kilometer (km) barat laut dari Siberut, Indonesia dengan kedalaman 10km.
“Gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” menurut kenyataan MetMalaysia.
Bagaimanapun, berdasarkan penilaian awal MetMalaysia, gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.
Pada masa sama, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Richter turut melanda Selatan Sumatera pada 5.38 pagi, 79 km dari Siberut, Indonesia.
Namun, gempa bumi itu juga tidak membawa ancaman tsunami kepada negara. – UTUSAN