Gaji warga emas RM3,000 sebulan tukang edar, jaga rokok seludup

Gaji warga emas RM3,000 sebulan tukang edar, jaga rokok seludup

SOFFIAN Santong menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang dirampas dari satu sindiket dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Satu sindiket pengedaran rokok seludup di sini tergamak menggajikan seorang warga emas berusia 62 tahun sebanyak RM3,000 sebulan sebagai pengedar dan penjaga stok rokok mereka.

Bagaimanapun, warga emas tempatan yang baru bekerja selama lima bulan dengan sindiket itu ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah teres di Jalan Bagan Serai, di sini pukul 7 malam kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, serbuan di rumah yang disewa untuk dijadikan stor penyimpanan rokok seludup itu dijalankan sekumpulan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Timur Laut menerusi Op Kontraban.

Jelas beliau, dalam serbuan itu, pihaknya merampas sebanyak 1,984 karton; 18,240 kotak dan 364,800 batang pelbagai jenama di ruang tamu rumah berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM275,000.

“Rokok seludup ini dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan termasuk dijual di kedai-kedai runcit.

“Kita juga sedang mengesan saki baki sindiket ini termasuk seorang lelaki warga tempatan yang menyewa rumah ini untuk dijadikan stor penyimpanan rokok seludup tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut, di sini hari ini.

Ujar beliau, kesemua rampasan itu akan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk semakan pengesahan ketulenan setem cukai dan jumlah cukai yang tidak dibayar mengikut peruntukan undang-undang negara.

Selain itu tambahnya, kesemua rampasan itu juga akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk penilaian kandungan tembakau dan jenis rokok.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN