Gaji minimum, MTUC salah faham - Noh - Utusan Malaysia

Gaji minimum, MTUC salah faham – Noh

NOH Omar dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Pusat Khidmat Jelebu, Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang di sini hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Berlaku salah faham dalam isu pelaksanaan gaji minimum seperti yang dibangkitkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) terhadap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Noh menjelaskan, apa yang dimaksudkan beliau, penangguhan pelaksanaan gaji minimum oleh pihak kementeriannya itu adalah hanya melibatkan usahawan mikro dan bukannya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS)

“Saya maksudkan hanya usahawan-usahawan mikro  iaitu mereka yang memperoleh pendapatan tahunannya bawah RM300,000 dan memiliki pekerja di bawah lima orang. Bila saya sebut usahawan mikro ini, mereka tiada kena mengena dengan MTUC.

“Peniaga mikro ini, jika mereka ini berniaga di gerai-gerai sahaja, pendapatan mereka juga tidak seberapa, tidak akan dapat mereka bayar gaji minimum RM1,500. Kita hanya mahu memberikan pembelaan kepada usahawan mikro ini kerana mereka baharu untuk bangun selepas terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, kalau ada usahawan mikro ini mampu membayar gaji minimum tersebut dialu-alukan tetapi untuk usahawan IKS, mereka kena ikut gaji minimum ditetapkan,” kata beliau.

Noh berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Pusat Khidmat Jelebu, Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang di sini hari ini.

Turut  hadir sama, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad.

Semalam Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor dilaporkan membidas Noh kerana memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu ke atas perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Menurutnya, seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, Noh tidak sepatutnya ‘campur tangan’ dengan mengumumkan bahawa hanya syarikat besar yang perlu mematuhi gaji baharu.

Tambahnya, adalah amat malang dan mengecewakan sekali jika IKS diketepikan daripada pelaksanaan gaji minimum baharu berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya