PETALING JAYA: Keberkesanan operasi dan tugas kawalan keselamatan menerusi Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) diakui Indonesia dan Filipina selepas berjaya melindungi kepentingan serta menangani ancaman dihadapi bersama.
Justeru, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto berkata, kerjasama rentas negara ini penting untuk diteruskan demi melindungi kepentingan masing-masing.
“Kerjasama trilateral antara kita sangat penting dan strategik. Kita mahu melihat ia (TCA) ditingkatkan dan mengalu-alukan keputusan yang dicapai hari ini. Contohnya, Indonesia sudah banyak kali berdepan dengan rakyatnya diculik dan dilarikan ke Filipina. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada kerajaan, rakyat dan tentera Filipina kerana membantu kami menyelamatkan tebusan termasuk mengorbankan tentera mereka bagi membantu rakyat kami.
“Ini menunjukkan pelaksanaan sebenar sebagai bukti usaha menerusi kerjasama trilateral ini. Ia amat penting dan saya fikir ia akan meningkatkan kestabilan keamanan di rantau kita. Justeru, kami komited melindungi ruang dan kestabilan rantau ini berdasarkan jalinan persahabatan rapat antara negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar bersama antara Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana.
Terdahulu ketiga-tiga pemimpin tersebut mengadakan Mesyuarat Menteri Trilateral (TMM) sempena penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Pertahanan FIlipina, Delfin Lorenzana berkata pihaknya komited untuk mengukuh dan mengeratkan lagi hubungan antara ketiga-tiga negara dengan langkah menghidupkan kembali TCA. – UTUSAN










