Fikir luar kotak, bangkit selepas gagal berkali-kali

Fikir luar kotak, bangkit selepas gagal berkali-kali

WAN Mohd. Saipuddin Wan Abd. Rasid melawat tapak gerai pertama penjualan paunya di Pusat Komersial, Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jatuh berkali-kali tetapi tidak mengalah malah kekal konsisten untuk terus kembangkan pengeluaran produk sama.

Itu langkah berani dan boleh dianggap sebagai ‘luar kotak’ oleh seorang pengusaha dan pembuat pau yang bertekad meneruskan perusahaan pembuatan dan penjualan pau walaupun pernah jatuh pada 2018, 2019, 2020 dan 2021.

Lazimnya, jika berulang kali berdepan kejatuhan, usahawan lain pasti sudah mencari peluang perniagaan lain supaya tidak berdepan masalah sama, namun lain tindakan diambil Wan Mohd. Saipuddin Wan Abd. Rasid yang mengasaskan pau jenama PauDeen.

Katanya, dia yakin dengan potensi perniagaan makanan itu dan meneruskan perniagaan dengan mengubah strategi serta meningkatkan pengeluaran pau di samping melakukan promosi termasuk pemberian 100 biji percuma bagi setiap gerai baharu dibuka.

“Kita kena buktikan pau kita laku. Itu yang saya cakapkan kepada kakitangan seramai 20 orang apabila jualan mula merudum pada September tahun lepas selepas berdepan masalah permintaan melebihi penawaran.

“Ketika itu kita mampu menghasilkan 4,000 biji pau sehari, tetapi permintaan semakin meningkat dan dalam masa sama tidak mampu memenuhinya atas pelbagai kekangan sehingga menyebabkan jualan menurun lebih 50 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Wan Mohd. Saipuddin, bermula November lalu, dia mula mengatur strategi dengan memindahkan premis operasi ke sebuah kilang yang disewanya di Pengkalan Chepa, Kelantan yang mampu meningkatkan pengeluaran pau.

Katanya, pemindahan tersebut diyakini mampu meningkatkan pengeluaran pau daripada 4,000 biji kepada 18,000 biji apabila kaedah automasi sepenuhnya digunakan.

Justeru, kini graduan bidang kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengorak langkah menembusi pasaran di Lembah Klang secara terus dengan membuka gerai pertamanya di Seksyen 7, Shah Alam pada 21 Februari lalu.

Kata Wan Mohd. Saipuddin, selain 11 gerai termasuk satu yang terbaharu di sini, menerusi 200 ejen berdaftar pau itu sudah pun berada dalam pasaran hampir di seluruh Semenanjung dan Singapura.

Berkongsi mengenai kelebihan pau berjenama PauDeen, beliau memaklumkan menjelajah hampir seluruh Semenanjung untuk merasai pau dalam pasaran sedia ada sebelum menghasilkannya menerusi inovasi resipi yang diperbaiki.

“Resipi memang saya inovasi sendiri bersama isteri sebab saya pergi pusing hampir seluruh Semenanjung untuk rasa sendiri pau di tempat lain. Kemudian baru fikirkan resipinya.

“Perbezaan kita dengan pau yang lain adalah potion inti yang banyak kemudian pau saya betul-betul ada rasa. Saya tidak kata yang terbaik, tetapi ada rasa, ini pau Pantai Timur. Kalau dibandingkan dengan pau lain, intinya tak berasa sangat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN