Elak 'PM tepi', risiko ditipu beli online - Utusan Malaysia

Elak ‘PM tepi’, risiko ditipu beli online

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Elakkan diri daripada terpedaya dengan taktik penipuan membeli-belah dalam talian (online) yang menggunakan kaedah ‘PM Tepi’ kepada penjual.

Itu taktik dikenal pasti digunakan sebahagian peniaga online dalam pasaran perniagaan digital, market place yang bukan boleh dipercayai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengguna harus memastikan transaksi dilakukan menggunakan platform selamat.

“Sekiranya komputer mereka tidak dilindungi, berkemungkinan data peribadi dan kata laluan mereka boleh diceroboh dan dilihat oleh orang lain.

“Elakkan meneruskan urusan jual beli dengan peniaga yang meragukan atau menawarkan tawaran tidak munasabah, elak ‘PM Tepi’ dan pastikan kata laluan yang digunakan adalah unik,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) yang julung kali diadakan pada tahun ini.

Menurut Alexander, aktiviti dalam talian tanpa sempadan ini sememangnya mendedahkan pengguna kepada scam, penipuan atau pencerobohan data peribadi apatah lagi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 2020 apabila aduan berkaitan transaksi online meningkat.

Katanya, sehingga 28 Februari lalu, kementerian menerima sebanyak 24,150 aduan berkaitan transaksi dalam talian merangkumi 36.45 peratus daripada keseluruhan aduan diterima.

“Antara aduan yang kerap diterima adalah seperti barangan yang dibeli tidak sama seperti yang diiklankan, barangan tidak sampai, barangan tiruan dan sebagainya,” katanya.

BPK bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok di NU Sentral Kuala Lumpur bertemakan ‘Fair Digital Finance’ iaitu Kesaksamaan Dalam Kewangan Digital sebagai usaha perlindungan dalam aktiviti kewangan secara online.

Alexander berkata, pemilihan tema itu bertepatan dengan senario pandemik Covid-19 yang memerlukan sebahagian besar transaksi bayaran, jual beli dan pelbagai aktiviti lain dilakukan secara tanpa sentuhan dan transaksi online dilihat sebagai platform paling selamat dan efisien.

Dalam inisiatif itu, kata beliau, kementerian berharap pengguna dapat menyertai arus teknologi digital dan  melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kepenggunaan digital lebih-lebih lagi dari sudut keselamatan dan perlindungan dari ancaman scam, penipuan, penggodam dan sebagainya.

“Kita mahu pengguna menjadi lebih cakna terutamanya dalam perlindungan pengguna. Secara amnya mereka tahu mengenai hak dan kuasa sebagai pengguna, namun kurang dipraktikkan menyebabkan hak mereka sebagai pengguna seringkali ditindas.

“Dengan pelaksanaan BPK ini, kementerian berharap dapat mewujudkan satu platform bagi memberi lebih penekanan terhadap pentingnya pengguna menggunakan kuasa dan hak mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN