ekonomi negara membimbangkan

Ekonomi Malaysia membimbangkan

JOHARI Abdul Ghani ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan ekonomi Malaysia agak membimbangkan kerana jika berdasarkan kepada petunjuk-petunjuk utama, negara ini agak ketinggalan berbanding dengan negara-negara jiran lain di rantau ASEAN

Bekas Menteri Kewangan Ke­dua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara petunjuk tersebut adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Pelaburan Langsung Asing (FDI), pertumbuhan pendapatan per kapita dan jumlah hutang negara.

“Kedudukan ekonomi negara sungguh membimbangkan saya. Kalau kita lihat beberapa indikator (petunjuk) ekonomi, ia tidak menunjukkan kita berada dalam kedudukan yang selesa.

“Dari segi KDNK tahun 2021, ekonomi kita berkembang pa­ling corot jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain.

“Kita hanya berkembang 3.1 peratus. Berbanding Filipina 7.4 peratus, Kemboja 6.8 peratus, Vietnam 6.7 peratus dan Indonesia 6.1 peratus,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.

Katanya, satu lagi petunjuk ekonomi ialah pendapatan perkapita dari 2018 hingga 2021.

Angkanya juga kata Johari, agak membimbangkan kerana sekali Malaysia berada pada kedudukan di bawah berban­ding rakan-rakan lain di rantau ASEAN.

“Pendapatan per kapita Malaysia hanya berkembang 0.3 peratus. Manakala Vietnam 4.4 peratus dan Indonesia 4.0 peratus,” jelas beliau.

Johari juga bimbang dengan kedudukan hutang negara yang menunjukkan penambahan begitu mendadak antara 2018 hingga 2021.

Menurut beliau, daripada hutang negara berjumlah RM686 billion pada 2018 meningkat hingga mencecah lebih RM1 trillion pada tahun lalu, iaitu peningkatan RM320 billion.

“Dengan hutang-hutang yang begitu tinggi, pembayaran faedah juga makin bertambah sehingga mencecah lebih RM42 billion setahun. Sedangkan pendapatan negara tidak berkembang selari dengan pendapatan kerajaan,” ujarnya.

Selain itu kata beliau, Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia juga rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran yang lain.

Pada tahun 2021 katanya, Malaysia hanya mendapat FDI berjumlah AS$11.1 bilion berban­ding Vietnam AS$31.1 bilion dan Indonesia AS$31.6 bilion.

“Sedangkan sewaktu BN memerintah dahulu negara kita merupakan pilihan utama oleh pelabur-pelabur yang datang ke negara ASEAN. Kesan daripada indikator ekonomi di atas ialah taraf penarafan negara kita te­lah jatuh dari -A ke +BBB,” kata Johari.

Johari berkata, Singapura tidak boleh diambil kira dalam perbandingan ini kerana republik itu adalah negara maju dan bukannya negara membangun.

Satu kebimbangan beliau ialah usaha untuk memulihkan ekonomi yang jatuh seperti ini tidak mudah.

Katanya, ia bukan sahaja memerlukan strategi jangka pendek dan panjang tetapi juga memerlukan kestabilan politik, pemimpin yang cekap dan pemimpin berintegriti.

“Agak sukar kita mengatasi (kejatuhan ekonomi). Yang pasti­nya kita perlu ada tiga perkara penting iaitu kestabilan politik – de­ngan mendapat mandat baharu dan yang meyakinkan supaya kerajaan boleh menggubal dan melaksanakan polisi-polisi yang tidak popular bagi membaik pulih semula ekonomi ini tanpa menyebabkan kerajaan itu akan dijatuhkan.

“Negara juga memerlukan pemimpin-pemimpin yang mempunyai pengalaman dan kecekapan (competency) dalam urusan membaik pulih ekonomi ini.

“Negara juga perlu mempunyai pemimpin-pemimpin yang mempunyai integriti dan dipercayai rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.