SEREMBAN: Dua peniaga direman enam hari bagi membantu siasatan selepas mereka disyaki menawarkan rasuah RM75,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan tahun lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 49 dan 50 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar, Mas Azmimin Ahmad di Mahkamah Khas Reman Seremban di sini hari ini.
Mas Azmimin membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan perintah reman ke atas kedua-dua suspek bermula hari ini hingga 6 Mac.
Permohonan reman oleh SPRM dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Riduan Kadri.
Terdahulu, kedua-dua lelaki itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban pukul 10 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.
Difahamkan sejak Ogos 2021 hingga Januari lalu, kedua-dua suspek menawarkan dan memberi wang keseluruhan berjumlah RM75,000 secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan (Negeri Melaka/Johor/Negeri Sembilan).
Ia sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.
Kedua-dua suspek sebelum itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada pukul 3.30 petang semalam.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi. – UTUSAN