PETALING JAYA: ‘Kecil-kecil cili api’.
Perumpamaan itu untuk digambarkan buat kenderaan peninjau ringan rekaan anak tempatan yang menarik minat delegasi dalam dan luar negara pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022.
Malah, kenderaan kecil ini mempunyai daya ketahanan tinggi dengan beberapa kemampuan lain itu boleh dipasang dengan beberapa senjata termasuk general purpose machine gun (GPMG) atau senjata bantuan lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Pemasaran Mildef International Technologies Sdn. Bhd. Muhammad Nur Faisal Md. Fuad berkata, kenderaan diberi nama ‘Tedung’ mampu membawa dua penumpang serta pemandu dengan dilengkapi suspensi terbaik untuk tugas lasak.
“Kita baharu sahaja bangunkan Tedung pada bulan ini. Kelajuan maksimum mencecah 110 kilometer perjam dengan jarak mencecah 240 kilometer (km).
“Selain itu, Tedung boleh dipasang dengan pelbagai aksesori lain termasuk armor mengikut spesifikasi pelanggan,” katanya ketika ditemui dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di sini semalam
Harga bagi sebuah kenderaan ini untuk kegunaan ketenteraan RM250,000 bergantung kepada spesifikasi.
Dalam pada itu, Muhammad Nur Faisal berkata, Tedung juga akan dilengkapi sebuah motosikal lasak berkuasa elektrik bagi tugas-tugas peninjauan.
“Kalau operasi di hutan terlampau tebal, anggota tentera boleh menggunakan motor berkenaan.Di bahagian tertentu juga boleh dipasang alat perlindungan tambahan,” jelasnya. – UTUSAN











