Diperdaya ‘kakitangan LHDN’, suri rumah rugi RM21,400 - Utusan Malaysia

Diperdaya ‘kakitangan LHDN’, suri rumah rugi RM21,400

NOR RAFIDAH KASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENINGAU: Akibat cemas dikatakan mempunyai cukai tertunggak, seorang suri rumah mengalami kerugian RM21,400 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, Sabtu lalu, wanita berusia 31 tahun itu mendakwa dihubungi seorang kakitangan wanita dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memberitahu mangsa mempunyai cukai tertunggak RM36,600.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim berkata, berdasarkan laporan mangsa, pada awalnya dia menafikan mempunyai tunggakan cukai tersebut.

Walau bagaimanapun, apabila panggilan disambung kepada seorang lagi wanita yang mendakwa dirinya pegawai polis, mangsa mula berasa cemas lalu mengikut segala arahan mengisi butiran peribadi menerusi pautan yang dihantar di WhatsApp.

Beliau berkata, suspek yang mengaku pegawai polis itu turut memberitahu mangsa bahawa kes itu akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

“Panggilan telefon itu disambung kepada seorang lagi lelaki yang mendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertindak mengarahkan mangsa mengisi butiran peribadi untuk mengelak potongan wang dari mahkamah.

“Mangsa yang terpedaya kemudiannya menekan serta mengisi butiran lanjut di pautan yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApps.

“Selepas beberapa jam, mangsa terkejut apabila mendapati sejumlah RM21,400 dalam akaun banknya sudah dipotong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Rafidah berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 28 Februari apabila menyedari dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang mendakwa daripada agensi penguat kuasa mahupun institusi kewangan.

“Jangan mudah mendedahkan sebarang butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN