Dadah: 447 tangkapan Op Tapis seluruh Pahang

Dadah: 447 tangkapan Op Tapis seluruh Pahang

RAMLI Mohamed Yoosuf menunjukkan gambar port aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan Felda yang telah diserbu dalam Op Tapis Khas SeMalaysia di seluruh Pahang. - FOTO/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 447 tangkapan terdiri daripada penagih dan tokan dadah termasuk 12 warga asing hasil operasi Op Tapis Khas SeMalaysia dalam 246 serbuan yang telah dikesan sebagai port pengedaran dan penagihan dadah.

Operasi yang dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang selama tiga hari berakhir 25 Februari lalu itu dijalankan secara serentak di 11 buah daerah melibatkan 28 kawasan Felda di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah tangkapan direkodkan dalam Op Tapis Khas kali ini adalah tertinggi melibatkan 434 lelaki dan 13 wanita yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 62 tahun.

“Hasil daripada operasi tersebut polis telah menahan enam individu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.

“Seramai 11 individu ditahan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952, 32 individu lagi mengikut Seksyen 39 A(1) ADB 1952 dan 60 individu Seksyen 12(2) akta sama.

“Dalam pada itu, seramai 278 ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan seramai 55 individu ditahan di bawah Seksyen 39C ADB 1952 yang boleh dikenakan penjara atau sebatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Ramli dalam pada itu berkata, dalam operasi terbabit, seramai 14 orang yang dikehendaki polis turut ditangkap dengan pelbagai kesalahan termasuk kes dadah.

Katanya, bersama-sama tangkapan, polis merampas 122.33 gram dadah jenis syabu, 109.50 gram heroin, 72.96 gram pil yaba dan 11.76 gram dadah jenis erimin 5.

“Kita turut merampas 48.75 liter air ketum dalam operasi kali ini dengan 30 daripada yang ditahan dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan air ketum ini.  Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 4 tahun atau denda sehingga RM4,000.

“Dalam serbuan itu, sebanyak RM11,250  wang tunai dirampas, lima buah kenderaan yang disita berjumlah RM56,000 dan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan melalui operasi terbabit dianggarkan kira-kira RM91,628,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, rasional tindakan JSJN melakukan serbuan di kawasan Felda memandangkan negeri ini memiliki 112 kawasan tanah rancangan dan kebanyakan daripadanya telah dilaporkan banyak berlaku aktiviti penyalahgunaan dadah. 

“Bukan bermakna kita sengaja memilih untuk melakukan serbuan hanya di Felda, cuma kebetulan negeri Pahang banyak Felda, jadi bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, kita tumpu kawasan situ. Dalam operasi ini, serbuah telah dibahagikan kepada tiga wilayah Felda iaitu Wilayah Kuantan merangkumi 38 Felda, Wilayah Jengka dan Membaga masing-masing sebanyak 37 Felda.

“Justeru itu, pihak polis mohon kerjasama pemimpin setempat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dapat bersama-sama dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah yang sudah berlanjutan di negara ini sejak kira-kira 40 tahun lalu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat itu ke pusat kawalan operasi Kontinjen Pahang di talian 09-5051999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya