IPOH: Pergaduhan tiga sekawan berkaitan kecurian barang termasuk dadah menjadi motif pembunuhan lelaki warga Myanmar yang mayatnya ditemukan di tepi jalan di kawasan kebun getah di Padang Semai, Kuala Rui, Gerik, Sabtu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, motif pembunuhan itu terbongkar selepas polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai membunuh mangsa.
Katanya, dua lelaki warga Myanmar berusia 26 dan 34 tahun itu ditahan di kawasan kebun getah Padang Semai pada pukul 4.30 petang, semalam.
“Mengikut keterangan awal, kedua-dua suspek bergaduh dengan mangsa selepas suspek menuduh mangsa mencuri barang peribadi mereka termasuk bekalan dadah.
“Pergelutan berlaku sebelum suspek mengambil senjata disyaki parang dalam motosikal mangsa dan menetak lelaki itu di beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, suspek dan mangsa merupakan rakan dan tinggal di rumah kongsi berlainan.
“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media pada Ahad lalu melaporkan penemuan mayat seorang lelaki warga Myanmar dengan dua kesan tetakan di dahi sebelah kanan, tengah kepala, siku kiri dan di pergelangan tangan kanan.
Mayat mangsa tanpa identiti berusia lingkungan 30-an itu dijumpai orang awam pada pukul 8.30 malam sebelum memaklumkan kepada polis. – UTUSAN