KLANG: Cubaan sebuah bot pom-pom membawa 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri ketika dikejar pihak berkuasa gagal apabila dicekup kira-kira 1.6 batu nautika barat daya Sungai Janggut, Kapar di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu, kesemua warga Indonesia termasuk kanak-kanak berusia lima hingga 47 tahun berkenaan ditahan selepas bot mereka berjaya dipintas.
Penahanan itu dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang mengesan kehadiran bot tersebut di sekitar perairan Pulau Angsa.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia mendapati sebuah vesel mencurigakan sedang bergerak menuju ke Jeram, Kuala Selangor.
Katanya, sebuah bot ronda yang menjalankan Op Belangkas kemudian digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Anggota penguat kuasa menemukan sebuah bot sarat penumpang dan diarah berhenti namun tidak diendahkan. Bot itu kemudian bertindak memecut laju namun berjaya dipintas dan ditahan dalam tempoh 10 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohammad Rosli, pemeriksaan kemudian mendapati 30 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak berada di bot tersebut.
“Bot dan kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di laut dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang cuba mencabul kedaulatan perairan negara.
Sebarang maklumat mengenai jenayah maritim dan kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










