KOTA TINGGI: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rosleli Jahari hari ini mengumumkan keluar dari parti itu dan menyertai semula UMNO.
Video pengumuman tersebut yang berdurasi 1 minit 20 saat dimuat naik di Facebook rasmi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Rosleli berkata, dengan pengumuman itu beliau dengan ini akan membantu calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama.
“Saya dengan rasa rendah hati syukur dan tawaduk kepada Allah ingin umumkan keluar dari parti Bersatu kerana hilang keyakinan kepada presiden parti.
“Dengan ini saya memohon untuk sertai UMNO parti asal saya untuk saya kembali berjuang dalam parti UMNO dan khasnya membantu calon-calon atas tiket BN khasnya di kawasan DUN Johor Lama.
“Jadi tugas saya kepada Bersatu selesai apabila UMNO dan BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Johor,” katanya dalam video tersebut.
Terdahulu, Rosleli yang sebelum ini bertanding atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) bertindak keluar parti selepas Pakatan Harapan (PH) menang sekali gus mentadbir kerajaan melalui gabungan parti bersama Bersatu.
Selain beliau, dua ADUN lagi iaitu Rasman Ithnain yang juga penyandang DUN Sedili dan Alwiyah Talib penyandang DUN Endau dari parti BN turut membuat keputusan sama menyertai Bersatu. – UTUSAN