KOTA KINABALU: Masalah kekurangan bekalan paracetamol di negeri ini kembali stabil setelah Sabah melepasi waktu kemuncak gelombang Omicron kira-kira dua minggu lalu.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pada dua minggu lepas bekalan agak berkurangan kerana pembelian paracetamol agak laris di pasaran susulan pembelian panik semasa kes positif Covid-19 memuncak.
Walau bagaimanapun katanya, ketika itu masih ada farmasi-farmasi yang menjual paracetamol.
“Kekurangan bekalan itu terjadi pada waktu kemuncak gelombang Omicron kerana ada pembelian panik atau orang membuat pembelian agak banyak berbanding biasa.
“Tapi, situasi ini sudah kembali seperti sedia kala dan bekalan sudah kembali stabil,” katanya selepas melawat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Contoh, Putatan hari ini.
Shahelmey, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berkata demikian ketika mengulas mengenai kekurangan bekalan paracetamol di beberapa kawasan di negeri ini.
Sebelum ini, kekurangan bekalan paracetamol turut dilaporkan di beberapa negeri lain susulan kesukaran pengguna mendapatkan bekalan ubat tersebut di premis jualan dan farmasi.
Mengenai perkembangan PICKids Sabah, Exco Kesihatan Negeri itu berkata, setakat ini hanya 51,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Sabah telah menerima vaksin menerusi program tersebut.
Jika dilihat jumlah itu masih lagi rendah berbanding keseluruhan jumlah kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut yang layak menerima vaksin iaitu 411,400 orang.
“Sabah berada ditangga kedua dari bawah jadi, kita perlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan paling penting ibu bapa kerana mereka yang memainkan peranan utama untuk memastikan anak-anak mereka menerima vaksin,” katanya. UTUSAN










