Baucar Buku Semarak Membaca 2022 boleh mula ditebus 1 April ini

Baucar Buku Semarak Membaca 2022 boleh mula ditebus 1 April ini

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Baucar Buku Semarak Membaca 2022 bernilai RM10 setiap satu boleh ditebus bermula 1 April hingga 31 Ogos ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program yang memberi manfaat kepada 190,000 penerima diperluas kepada 371 kedai buku tahun ini, berbanding 168 kedai buku tahun lalu.

“Baucar diedarkan kepada 371 kedai buku terdiri daripada 170 kedai buku fizikal, satu kedai buku secara dalam talian E-Sentral Ebook Portal dan 200 kedai buku e-dagang menerusi aplikasi Shopee sebagai satu platform baharu untuk memperluaskan lagi program penebusan ini.

“Penerima baucar layak menebus atau menikmati potongan diskaun dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM20 dan ke atas dalam satu resit transaksi,” katanya dalam Majlis Penyerahan Baucar Buku Semarak Membaca 2022.

Pada masa sama, Nancy berkata, pihaknya bersetuju meneruskan Program Baucar Buku Semarak Membaca melalui Perpustakaan Negara tahun ini untuk melestarikan budaya membaca dalam kalangan rakyat selaras dengan gagasan menjadikan Malaysia negara membaca menjelang 2030.

“Untuk tujuan itu, sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan kepada Perpustakaan Negara di bawah Insentif Pemberian Baucar dan Diskaun bagi Produk Kesenian dan Kebudayaan pada 2022,” katanya.

Program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca diadakan buat kali pertama pada 21 Okt hingga 30 Nov tahun lalu, dengan manfaat selain diskaun, penerima baucar buku juga didaftarkan sebagai ahli u-Pustaka secara automatik yang berpeluang mengakses bahan bacaan digital secara percuma pada bila-bila masa.

Senarai kedai buku terlibat bagi penebusan baucar boleh didapati di www.semarakmembaca.com. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN